Oleh Daniel Lim
BELAIT, 1 SEPT – Seramai 150 orang yang terdiri daripada ahli-ahli jawatankuasa takmir, belia serta Muslimah dari masjid-masjid di Daerah Belait telah mengikuti Bengkel Tahsin Tajwid Al-Quran yang diadakan di Dewan Masjid Pekan Seria, kelmarin.
Dianjurkan oleh Jawatankuasa Takmir Masjid Pekan Seria, bengkel berkenaan bertujuan untuk mengongsikan pengetahuan menge-nai bacaan betul ayat-ayat Al-Quran.
Di samping itu, ia juga diharap menggalakkan penyertaan, ter-utamanya dalam kalangan ahli-ahli jawatankuasa takmir dan belia dari seluruh daerah, dalam aktiviti-aktiviti yang dijalankan di masjid yang juga bermatlamat untuk mengukuhkan lagi silaturahim antara peserta.
Pada bengkel itu, Penasihat di Bahagian Bimbingan dan Latihan, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Haji Mohammad Sahri bin Haji Sulaiman telah menyampaikan taklimat mengenai bacaan betul ayat-ayat suci Al-Quran serta pengajaran yang boleh didapati daripada ayat-ayat berkenaan.
Taklimat disusuli sesi soal jawab di mana para peserta dapat mendalami lagi pengetahuan mereka. Pegawai Hal Ehwal Masjid Pekan Seria, Awang Aminorddin bin Haji Mohd Yussof ketika ditemui melahirkan harapan agar para peserta akan menggunakan sepenuhnya pengetahuan yang diperolehi dalam membetulkan tanggapan salah yang mungkin ada terutamanya semasa membaca ayat-ayat suci Al-Quran.
