Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 2 JUN – Sempena Hari Menabung Kebangsaan yang disambut setiap 28 Mei, Brunei Darussalam Central Bank (BDCB) telah menekankan penggunaan perkhidmatan perbankan digital untuk menyimpan wang serta manfaatnya.
Dengan perkembangan teknologi yang sudah semakin bergerak maju ke hadapan, pengurusan kewangan secara digital telah menjadi lebih penting dan relevan.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini, BDCB menjelaskan bahawa secara tradisinya, menyimpan wang memerlukan orang ramai untuk pergi ke cawangan bank bagi melengkapkan borang, dan seterusnya mendepositkan wang ke dalam akaun simpanan, dan dengan adanya teknologi, ia telah menjadikan penyimpanan wang dengan lebih mudah dan efisien.
Platform perbankan digital berkenaan telah mengubah cara orang ramai mengendalikan dan mengurus wang dan dengan hanya beberapa klik pada telefon pintar sahaja, akaun simpanan boleh dibuka, membuat pemindahan wang secara automatik, pemantauan perbelanjaan dan matlamat kewangan pada bila-bila masa.
Dengan perkhidmatan yang disediakan oleh syarikat FinTech dan aplikasi mudah alih perbankan juga, pengurusan kewangan kini lebih mudah berbanding sebelum ini.

Terdapat beberapa manfaat menyimpan wang secara digital yang antaranya kemudahan dan kebolehcapaian, iaitu dengan menggunakan platform perbankan digital, pemilik dapat mengakses akaun pada bila-bila masa, jika tidak dapat pergi ke bank secara fizikal.
Di samping itu, ia automatik dan menjimatkan masa di mana perbankan digital boleh memanfaatkan pemindahan wang secara automatik mengikut kekerapan yang diinginkan di samping menjadikan simpanan mudah dan boleh membantu untuk menjadi lebih berdisiplin dan konsisten.
Manfaat lain adalah pengurusan kewangan dan pemantauan sasaran yang mana ia membolehkan untuk mengatur kewangan dengan lebih baik.
Akhir sekali adalah dari segi keselamatan dan ketelusan, di mana platform perbankan digital mengutamakan keselamatan wang dan maklumat peribadi melalui penyulitan (encryption) yang kukuh, pengesahan pelbagai faktor dan langkah keselamatan yang lain, yang juga menyimpan sejarah transaksi dan penyata akaun untuk rujukan.
Sehubungan itu, BDCB mengingatkan tanggungjawab untuk menguruskan akaun sendiri dengan cermat dan simpan maklumat akaun dengan selamat dan laporkan sebarang aktiviti yang mencurigakan dengan segera.
Selain menegaskan, supaya mengelakkan menggunakan akaun peribadi untuk menjalankan perniagaan lain serta jangan sekali-kali menjadi keldai akaun dengan menyewakan akaun kepada sesiapa pun.
Sempena Hari Menabung Kebangsaan, BDCB menyeru untuk memanfaatkan perbankan digital untuk menyimpan wang bagi membina masa depan kewangan yang lebih cerah dan untuk pertanyaan, orang ramai boleh menghubungi 8318388 atau e-mel kepada info@bdcb.gov.bn.