Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 April – Menurut laman sesawang We-are-social.com, Negara Brunei Darussalam pada 2017 dilaporkan mempunyai peratus tertinggi penembusan Internet, penembusan media sosial dan penembusan sosial mudah alih di Asia Tenggara.
Jumlah itu terus meningkat dan ia menunjukkan tahap kesedaran media sosial yang tinggi dalam kalangan penduduk di mana media sosial digunakan untuk membuat perhubungan, berhubung dengan keluarga dan sahabat-handai, berkongsi pelbagai aspek kehidupan, untuk mencari barangan serta menjadi sebahagian daripada keperluan harian.
Trend berkenaan sedang berlaku di seluruh dunia dan bukan sahaja di Asia Tenggara atau Brunei. Oleh itu, ia merupakan satu bidang yang baharu bagi usahawan untuk memanfaatkan platform serta merebut peluang-peluang itu untuk perniagaan mereka.
Perkara itu dinyatakan oleh Pemangku Naib Canselor Universiti Brunei Darussalam (UBD), Profesor Madya Dr Mohd Ayub Sadiq ketika berucap di Majlis Penutup dan Penyampaian Sijil Bengkel Media Sosial bagi Usahawan Wanita yang berlangsung di Institut Sains Kesihatan Pengiran Anak Puteri Rashidah Sa’adatul Bolkiah, UBD, kelmarin.
Hadir di majlis berkenaan ialah Pengerusi Forum Ekonomi Islam Sedunia (WIEF) Businesswomen Network (WBN), Datuk Dr Norraesah Mohammad, pegawai-pegawai kanan UBD dan peserta-peserta bengkel.
Profesor Madya Dr Mohd Ayub Sadiq dalam ucapannya lagi menyatakan bahawa bengkel tersebut memberikan latihan kemahiran kepada para peserta untuk merebut peluang-peluang perniagaan yang ada sebagai respons pada perubahan amalan perniagaan di mana perusahaan tidak lagi hanya terhad kepada bangunan atau lokasi tetapi ia lebih meluas sehingga mampu menjangkau luar sempadan sesebuah negara menerusi media sosial.
Beliau menyatakan bahawa mereka mampu untuk mengkhususkan produk serta perkhidmatan mereka supaya ia dapat menjangkau pengguna yang tepat dengan lebih baik dan efisien.
Dengan lebih daripada 2.8 bilion orang pengguna media sosial pada 2017, ulasnya lagi, adalah amat wajar bagi mereka untuk memanfaatkan platform atas talian berkenaan untuk memajukan perniagaan mereka.
Dalam hubungan itu, mengetahui bagaimana untuk menggunakan media sosial untuk perniagaan merupakan kemahiran yang mesti ada bagi usahawan dan usahawan wanita adalah lebih bersiap sedia untuk memanfaatkan platform atas talian berkenaan untuk meningkatkan dan mengembangkan lagi perniagaan mereka kerana sebilangan besar perniagaan yang diterajui wanita beroperasi pada skala yang lebih intim.
Profesor Madya Dr Mohd Ayub Sadiq dalam ucapannya berharap menerusi bengkel itu, para peserta mendapat pengetahuan berguna yang boleh digunakan dalam operasi dan pemasaran perniagaan mereka serta berharap bengkel itu membangunkan asas dan permulaan bagi mereka untuk pembelajaran sepanjang hayat.
Bengkel dua hari itu dianjurkan bersama oleh Fakulti Sastera dan Sains Sosial, UBD, Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, UBD dan WIEF Yayasan WBN yang mana ia bermatlamat untuk membantu usahawan wanita mengetengahkan jenama dan keberadaan atas talian mereka dengan membangunkan serta mengekalkan laman sesawang aktif serta akaun media sosial.
Bengkel itu disertai oleh seramai 30 orang usahawan wanita yang memiliki perusahaan mikro, kecil dan sederhana di mana semasa bengkel itu, mereka diberikan tunjuk ajar untuk menggunakan aplikasi media sosial sebagai platform berguna untuk memasarkan produk serta perkhidmatan mereka secara global.