Saturday, April 26, 2025
25.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Manfaatkan taman rekreasi, jaga kesihatan

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 10 SEPT – Selain mengamalkan makanan sihat untuk menguatkan sistem imun, senaman yang mencukupi juga dapat merangsang ketahanan tubuh dalam melawan pelbagai penyakit.

    Bagi mereka yang diarahkan untuk ‘teranah di rumah’ atau sedang menjalani kuarantin, selain meningkatkan amal ibadah solat, mereka juga boleh melakukan aktiviti senaman di rumah atau di pusat kuarantin bagi memastikan tubuh sihat dan kembali cepat sembuh.

    Dengan hanya berpandukan video yang dimuat naik di laman YouTube dan medium lainnya, mereka boleh melakukan senaman ringan dan regangan yang boleh membantu melancarkan peredaran darah dan menguatkan otot kaki dan belakang serta mengisi masa lapang dengan perkara yang berfaedah.

    Bagi mereka yang sihat pula perlu merebut peluang melakukan aktiviti riadah seperti di taman rekreasi yang memiliki daya tarikan alam semula jadinya yang menghijau. Justeru, tarikan alam semula jadinya yang hijau inilah dapat melapangkan fikiran dan melepaskan tekanan, seterusnya mendorong diri untuk mengekalkan gaya hidup sihat, berfikiran positif sekali gus meningkatkan imunisasi badan.

    Ketika ini, sesetengah taman rekreasi di negara ini turut menyediakan pelbagai kemudahan bagi para pengunjung beriadah dan melakukan pelbagai aktiviti, seperti pondok-pondok, taman permainan, kemudahan untuk bersenam dan sebagainya. Kemudahan taman rekreasi yang ada di negara ini perlu dimanfaatkan dengan sebaiknya dengan menjaga kebersihan dan kecantikan taman agar segala kemudahan yang disediakan di taman-taman tersebut dapat dimanfaatkan agar terpelihara dengan baik dalam jangka masa yang panjang.

    Pelakon tanah air, Haji Yahya bin Haji Berudin ketika menunjukkan reka bentuk kreatif baharu yang terdapat di taman riadah Bukit Silat yang diusahakan oleh AJK Kampung Mata-Mata dalam usaha persatuan tersebut untuk menggalakkan amalan hidup sihat dengan beriadah dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Kesihatan semasa COVID-19 ini. – Gambar oleh Yusrin Junaidi
    Haji Yahya bersama salah satu rekaan helikopter yang menjadi tarikan di Bukit Silat.

    Antara taman rekreasi yang telah menaiktarafkan kemudahan beriadah ialah Bukit Sum-Sum dan Bukit Silat, yang dikenali sebagai tempat riadah mendaki bukit Kampung Katok B.
    Bukit berkenaan mula mendapat perhatian sejak tahun lalu dan perkembangan
    terkini bukit riadah telah menambah beberapa fasiliti yang diusahakan oleh ahli Jawatankuasa Kampung Mata-Mata yang terdiri daripada penduduk kampung berdekatan dan sebagainya.

    Antara hasil kreativiti mereka di bukit itu ialah seperti pembinaan pondok rehat, mereka bentuk kapal terbang, motosikal, binatang, beca, kereta F1 dan banyak lagi yang diperbuat daripada pokok-pokok yang sudah mati.

    Menurut pelakon veteran Brunei, juga salah seorang pengunjung bukit riadah tersebut, Haji Yahya bin Haji Berudin ketika dihubungi Media Permata mengatakan AJK Kampung Mata-Mata telah berusaha untuk menghidupkan lagi bukit riadah berkenaan dengan membina pelbagai tarikan.

    “Dengan adanya binaan-binaan baharu penuh kreatif itu ia diharap dapat menggalakkan pengunjung dan melepaskan tekanan harian sambil mengambil gambar kenangan,” ujarnya.

    Sehubungan itu, bagi menyahut seruan Kementerian Kesihatan dalam membendung penularan wabak COVID-19, beliau menasihatkan para pendaki bukit untuk sentiasa menjaga keselamatan masing-masing, mengutamakan penjarakan sosial, tidak berkumpul dan memakai pelitup muka jika berada di tempat riadah dipenuhi ramai pengunjung.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda