Tuesday, March 18, 2025
28.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Manfaatkan teknologi

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 27 OGOS – Selaras dengan matlamat Universiti Teknologi Brunei (UTB) untuk membangunkan dan mengembangkan bidang alam persekitaran pintar dan pertanian pintar, Datastream Technology (DST) dan UTB menubuhkan kerjasama yang menarik dalam bidang berkenaan menerusi memorandum persefahaman (MoU) yang telah dimeterai hari ini.

    Majlis penandatanganan MoU berkenaan berlangsung di Bilik Persidangan Utama UTB di mana menandatangani bagi pihak DST ialah Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif, Radin Sufri bin Radin Basiuni dengan saksi, Pengurus Kanan Komunikasi Korporat Kumpulan, Hajah Safrina PD Haji Taib dan bagi pihak UTB ialah Pemangku Naib Canselor, Haji Ady Syarmin bin Haji Mohd Taib dengan saksi, Pengarah Industri dan Pegawai Liason, Jennifer Voon Nyuk Hiong.

    Turut hadir ialah wakil-wakil daripada DST serta para pegawai kanan UTB.

    Persekitaran pintar merupakan idea untuk membina semua persekitaran dipenuhi teknologi seperti sensor dan paparan untuk membantu mengawal serta meningkatkan kefahaman mengenai alam persekitaran manakala pertanian pintar pula merupakan idea untuk menyemaikan teknologi maklumat dan komunikasi moden ke dalam pertanian.

    Kedua-dua idea yang mempunyai persamaan dan saling berkaitan antara satu sama yang lain berkenaan mempunyai prospek yang menarik bagi Brunei khususnya dalam usaha untuk meningkatkan lagi sumber pendapatan ekonomi negara dalam sumber-sumber utama seperti bidang pertanian.

    Radin Sufri (kiri) dan Haji Ady Syarmin menandatangani dokumen semasa Majlis Penandatanganan Memorandum Persefahaman di antara DST dan UTB kelmarin.
    Radin Sufri dan Haji Ady Syarmin bergambar ramai bersama pegawai-pegawai kanan daripada DST dan UTB.

    Dalam hubungan itu, kerjasama antara DST dan UTB akan menyaksikan projek-projek penyelidikan dikendalikan di Brunei termasuk pemantauan paya gambut di Badas bagi Rangkaian Komuniti Hutan Paya Gambut ASEAN dan juga projek padi dengan sistem perairan pintar untuk platform rangkaian tanpa wayar topologi mesh kuasa rendah bagi ladang padi di Wasan. Kedua-dua projek berkenaan dibiayai oleh projek ASEAN ICT Virtual Organisation untuk 2018 dari National Institute of Information and Communications Technology (NICT) Jepun.

    Hasil dapatan dan analisis daripada projek-projek berkenaan akan digunakan untuk meningkatkan lagi kaedah pertanian di Brunei.

    Pengurus dan Penyelaras Projek DST, Freddie Ting ketika mengulas mengenai sumbangan DST menerusi kerjasama itu menyatakan bahawa teknologi baharu dalam zaman digital dan pergerakan menuju ke Revolusi Industri 4.0 akan membawa bersamanya perubahan serta memperbaiki lagi bandar raya pintar.

    Beliau berkata bahawa pertanian sedang memanfaatkan teknologi baharu itu bagi pertanian pintar dengan menggunakan data serta analisis untuk memperbaiki kaedah pertanian.

    Data dan analisis mempunyai banyak manfaat dan bidang pertanian mempunyai lebih banyak data daripada industri lain di mana para petani di seluruh dunia sedang menggunakan data dan analisis untuk meningkatkan pengeluaran makanan bagi membantu memenuhi permintaan global yang terus meningkat.

    Oleh itu, jelasnya lagi, DST amat gembira kerana dapat menyokong UTB dalam inisiatif pertanian pintar mereka dengan menggunakan teknologi canggih untuk meningkatkan kuantiti serta kualiti pelbagai produk pertanian.

    Pada masa yang sama, DST juga akan menyokong matlamat negara untuk melaksanakan penyelesaian kepada bandar raya pintar dengan memberikan manfaat yang nyata dan jangka panjang kepada perniagaan dan penduduk sekalian.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda