Thursday, December 26, 2024
24.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Manfaatkan teknologi tingkatkan produktiviti

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 13 NOV – Dengan industri penerbangan menyaksikan pemulihan jumlah penumpang keseluruhan dan kargo Asia Pasifik yang melebihi tahap 2019, adalah bertepatan masanya bagi syarikat penerbangan untuk bekerjasama dengan lebih rapat di bawah payung Persatuan Syarikat Penerbangan Asia Pasifik (AAPA).

    Usaha industri berkenaan untuk mencapai pemulihan sepenuhnya terus berhadapan dengan pelbagai cabaran termasuk kekurangan buruh dan sekatan rantaian bekalan.

    Selain itu, industri penerbangan juga terkesan daripada segi operasi dan komersial oleh ketegangan geopolitik yang meningkat serta pada masa yang sama, harus memastikan operasi yang selamat dan mampan.

    Dengan cabaran pada masa kini dan jangka dekat, kita melihat kepada teknologi untuk meningkatkan produktiviti dan pengalaman tetamu kita, jelas Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Penerbangan Diraja Brunei (RB), Kapten Sabirin Haji Abdul Hamid dalam kata alu-aluannya di Perhimpunan Pemimpin AAPA ke-68 yang berlangsung di The Empire Brunei, hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat dan menyampaikan ucapan pembukaan di majlis berkenaan ialah Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha.

    Para ahli panel semasa mengadakan sesi dialog pada majlis berkenaan. – GAMBAR SERAHAN RB
    GAMBAR SERAHAN RB

    Kapten Sabirin berkata lagi dengan cabaran-cabaran yang dihadapi hari ini, keperluan bagi kolaborasi dan dialog antara pihak berkepentingan adalah lebih mendesak.

    Menerusi AAPA dan Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA), tambahnya, kita secara kolektif boleh menyuarakan kebimbangan kita kepada pihak berkuasa yang relevan.

    Pada majlis berkenaan, Ketua Pengarah AAPA, Subhans Menon turut menyatakan bahawa perhimpunan berkenaan boleh menjadi pelantar bagi mereka untuk membincangkan masa depan perjalanan udara dalam pasaran penerbangan terbesar di dunia.

    Perhimpunan yang membawa tema, Future Proofing Asian Aviation, memberikan peluang kepada para delegasi AAPA untuk menilai pemulihan industri penerbangan dan cabaran-cabaran yang dihadapi bagi pertumbuhan berterusan termasuk isu-isu rantaian bekalan yang terus dihadapu yang menjejaskan penghantaran pesawat terbang, enjin, komponen dan barang ganti tepat pada masanya.

    Perhimpunan itu juga menumpukan perbincangan kepada kemampanan penerbangan di mana panel pakar yang mewakili syarikat penerbangan, lapangan terbang, pengeluar pesawat terbang, kerajaan dan pembekal bahan api penerbangan yang mampan membincangkan laluan kepada neutraliti karbon.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda