Thursday, February 6, 2025
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Manfaatkan waktu cuti sekolah sebaiknya

    MUSIM cuti persekolahan kembali lagi dan setentunya ia merupakan saat yang sangat dinanti-nantikan oleh anak-anak walaupun tempoh waktunya agak singkat.

    Maka setentunya ia menjadi tanggungjawab dan peranan kepada ibu bapa untuk mengisi masa lapang anak-anak dengan pelbagai perkara yang bermanfaat bagi meningkatkan pengetahuan dan kemahiran diri mereka.

    Sertai kem ibadah, motivasi

    Anak-anak ibarat kain putih yang memerlukan ibu bapa mengunakan strategi, kemahiran, kepakaran dalam mencorakkan mereka agar jati diri yang dilahirkan mampu membina sahsiah dan akhlak yang terpuji.

    Menghantar anak-anak ke kem ibadah dan motivasi mampu meningkatkan pengetahuan dan pemahaman tentang ilmu berkaitan solat, doa harian, zikir, bacaan dan hafazan Al-Quran dalam mewujudkan modal insan yang dididik mengikut ajaran agama yang sebenar.

    Selain itu, kem motivasi juga dapat membentuk dan meningkatkan keyakinan diri anak-anak untuk berhadapan dengan cabaran dunia yang kian menguji minda serta fizikal untuk kuat, pantas, cekal dan mampu bertahan dengan ujian yang datang tidak mengira masa dalam pelajaran mahupun kehidupan seharian.

    Ibu bapa wajar meluangkan waktu bersama keluarga terutama pada musim cuti sekolah dengan melakukan pelbagai aktiviti yang bermanfaat. – Agensi
    Aktiviti mewarna pula berupaya untuk meningkatkan kemahiran dan kreativiti kanak-kanak pada musim cuti persekolahan. –Agensi
    Bersukan merupakan antara aktiviti aktif dan berunsurkan kesihatan yang sesuai dipraktikkan sepanjang musim cuti persekolahan. – Agensi

    Bersukan

    Pada usia muda, anak-anak perlu didedahkan dengan pelbagai aktiviti yang dapat mencungkil bakat mereka terutama dalam bidang kesukanan.

    Selain itu, bersukan juga dapat meningkatkan kecergasan tubuh badan mereka dalam masa yang sama dapat mempelajari nilai-nilai yang tersembunyi dalam setiap permainan sukan.

    Sukan berbentuk seni mempertahankan diri juga penting dalam menyediakan sistem pertahanan yang kukuh dalam diri anak-anak agar berani dan kuat menghadapi sebarang kemungkinan.

    Hadiri kelas bahasa

    Mempersiapkan diri anak-anak dengan pelbagai kemahiran berbahasa akan memudahkan kehidupan mereka pada masa akan datang.

    Contohnya, anak-anak diberi penekanan untuk menguasai Bahasa Inggeris baik dalam penulisan mahupun pertuturan kerana persaingan kerja yang mendesak untuk berhubung dengan orang luar.

    Di samping itu, kemahiran menguasai pelbagai bahasa termasuk bahasa Arab, Cina, Jepun dan sebagainya akan dapat meningkatkan keyakinan diri anak-anak dan memudahkan urusan berkomunikasi serta mereka mampu melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.

    Melawat datuk dan nenek

    Suasana kehidupan di kampung amat berbeza dengan kehidupan di bandar.

    Di kampung, anak-anak boleh belajar untuk berdikari tanpa mengharapkan pertolongan ibu bapa untuk melakukan sesuatu. Contohnya, jika hendak meminum air kelapa perlu menggunakan usaha sendiri dan pemantauan orang dewasa untuk mendapatkannya dari pokok kelapa.

    Selain itu, pelbagai aktiviti yang menyeronokkan boleh dilakukan bersama keluarga  tersayang. Ketika berjauhan hanya telefon sahaja yang menghubungkan.

    Oleh itu, bawalah anak-anak pulang ke kampung dan melakukan aktiviti bersama datuk dan nenek seperti menolong membersihkan halaman rumah, memasak, berkebun, pergi ke dusun buah-buahan, bermain wau dan pelbagai lagi yang boleh dibuat bagi mengeratkan hubungan silaturahim.

    Melakukan kerja amal

    Menerapkan nilai-nilai murni dalam diri anak-anak untuk membantu mereka yang lebih memerlukan. Membawa anak-anak untuk menyertai persatuan kebajikan yang banyak melakukan aktiviti seperti memberi makanan kepada golongan gelandangan, membantu anak-anak yatim, menceriakan golongan OKU dan warga emas yang hidup di rumah orang tua.

    Golongan ini amat memerlukan semangat dan sokongan daripada masyarakat.

    Oleh itu, ajaklah anak-anak melakukan kerja amal bagi mendedahkan kepada mereka bahawa kehidupan mereka lebih baik dan mereka perlu bersyukur dengan apa yang ada serta perlu ringan tulang dalam menghulurkan bantuan.

    Ini akan melahirkan anak-anak yang berjiwa masyarakat dan akan menabur bakti demi kesejahteraan ummah.

    Ulangkaji pelajaran

    Aktiviti ini adalah yang paling membosankan bagi anak-anak apabila tiba musim cuti sekolah. Tetapi masa yang ada perlu dimanfaatkan sebaiknya terutama bagi anak-anak yang bakal menghadapi peperiksaan besar pada tahun hadapan.

    Ulangkaji secara ringkas perlu dilakukan agar anak-anak tidak lupa apa yang telah mereka belajar. Buatlah jadual waktu belajar untuk anak-anak agar mereka mampu berdisiplin menguruskan diri ketika waktu lapang.

    Hakikatnya, terdapat pelbagai aktiviti menarik yang boleh dilakukan oleh anak-anak di sepanjang musim cuti sekolah tanpa perlu memperuntukkan jumlah kewangan besar seperti melancong. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda