Oleh Daniel Lim –
BELAIT, 27 JUN – Dalam kalangan 12 pasukan yang telah mengambil bahagian, pasukan Manggis telah dinobatkan sebagai juara setelah berjaya mengalahkan Serikandi Tuskers dalam perlawanan akhir Kejohanan Kriket T10 yang dianjurkan oleh Bahagian Kriket Kelab Panaga pada 24 Jun lalu di padang kelab tersebut.
Kejohanan bermula dengan 12 pasukan berentap dalam empat kumpulan yang berasingan.
Antara pasukan yang terlibat adalah TN-XI, Serikandi Tuskers, dan Telugu Warriors dalam Kumpulan A; sementara pasukan Manggis SOS EDS dan Lumut dalam Kumpulan B; manakala pasukan BSB, MSB, dan TN-XII Next Gen dalam Kumpulan C; dan pasukan Vikings, LCT, dan Brunei Warriors ditempatkan dalam Kumpulan D, di mana dua pasukan teratas daripada setiap kumpulan melangkah ke peringkat separuh akhir. Serikandi Tuskers berjaya mengalahkan BSB dan TN-XI masing-masing dalam peringkat suku akhir dan separuh akhir, manakala pasukan Manggis mengatasi LCT dan Vikings untuk mara ke peringkat akhir.
Selepas memenangi lemparan syiling untuk memulakan permainan, Serikandi Tuskers menamatkan pusingan pertama dengan 56 larian dalam tempoh 10 over. Dengan keputusan tersebut, pasukan Manggis bangkit apabila menjaringkan 57 larian walaupun kehilangan dua wicket dalam masa 9.4 over.
Hadiah disampaikan pengerusi Bahagian Kriket, Venkata Ramana Rao Suryadevara.
