HONG KONG, 16 Sept – Taufan Mangkhut membadai Hong Kong sebelum melanda tanah besar China hari ini menyebabkan puluhan cedera dan menggoncang pencakar langit selepas meragut sekurang-kurangnya 59 nyawa di Filipina serta merosakkan pusat pertanian negara itu.
Ribut paling dahsyat di dunia pada tahun ini setakat ini menyebabkan kawasan di utara pulau Luzon itu ditenggelami air ketika angin kencang menumbangkan serta menerbangkan pokok-pokok dengan hujan lebat pula mencetuskan puluhan kejadian tanah runtuh berlaku. Mangkhut juga membadai bandar pantai Jiangmen di wilayah selatan China lewat hari ini selepas membadai Hong Kong.
Jabatan Kaji Cuaca Hong Kong mengeluarkan amaran maksimum bagi Mangkhut yang melanda bandar raya itu dengan angin kencang bertiup selaju 230 kilometer sejam mengakibatkan lebih 100 orang cedera, menurut seorang pegawai kerajaan.
Ketika Mangkhut melewati selatan Hong Kong, pokok-pokok tumbang dan jalan-jalan tersekat sementara tingkap-tingkap di beberapa blok bangunan pecah berkecai dan bangunan pencakar langit bergoyang.
Filipina baharu sahaja mentafsirkan kemusnahan selepas Mangkhut melanda utara Luzon pada Sabtu dengan angka kematian melonjak kepada 59 orang sehingga lewat hari ini selepas lebih ramai korban tanah runtuh ditemui.
Di bandar Baggao, Mangkhut menyebabkan kerosakan kediaman dan menerbangkan bumbung dan memutuskan talian bekalan elektrik. Beberapa jalan telah terputus selepas ditenggelami air dan kejadian tanah runtuh.
Ladang di seluruh utara Luzon yang menjadi jelapang padi dan jagung negara ditenggelami banjir lumpur sekali gus memusnahkan tanaman mereka sebulan sebelum musim menuai.
“Kami sudahlah miskin dan ini pula berlaku kepada kami. Kami putus harapan. Kami tidak ada cara lain untuk terus bertahan,” kata Mary Anne Baril, 40, sambil menangis. – AFP