NEW YORK, 4 MAC – Sebuah mangkuk (gambar) dibeli dengan harga AS$35 dalam jualan murah di Amerika Syarikat didapati merupakan artifak China kurun ke-15 yang mungkin bernilai AS$500,000.
Mangkuk porselin, dengan motif bunga, diperoleh oleh seorang pembeli, dengan identitinya dirahsiakan, di negeri timur laut Connecticut.
Pembeli itu memberikan mangkuk itu untuk dinilai oleh pakar seramik di Sotheby’s, pertama dengan menghantar gambar, seterusnya membawanya ke firma pelelongan itu untuk dilihat lebih dekat.Pakar berkata ia dicat untuk Maharaja Yongle, maharaja ketiga dinasti Ming yang memerintah dari 1402 hingga 1424.
“Hanya terdapat enam mangkuk seumpama itu di dunia. Ia adalah kumpulan yang amat eksklusif,” beritahu Angela McAteer, ketua kerja seni China di Sotheby’s di New York, kepada AFP.
Sotheby’s akan melelong mangkuk ketujuh yang baru ditemui itu pada 17 Mac, apabila ia dijangka dijual di antara AS$300,000 dan AS$500,000. Lima daripada mangkuk tersebut berada di muzium, dua di Taiwan, dua di London dan satu di Tehran. – AFP