Friday, November 15, 2024
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mangkuk besar tarikan kedai ramen di George Town

    GEORGE TOWN – Siapa sangka mangkuk besar seberat 6.4 kilogram yang biasanya dipamerkan di kedai-kedai perhiasan kini menjadi mangkuk untuk menghidangkan ramen, sejenis makanan Jepun berbentuk mi sup, kepada pelanggan.

    Ia dijadikan sebagai tarikan di restoran ‘My Voice Cafe and Studio Big Bowl Ramen’ di Chew Jetty, di sini.

    Pengurus operasi restoran itu, Adrian Chee Tong Wai, 47, berkata kebanyakan pelanggan yang datang ke restoran itu terkejut melihat mangkuk yang besar dan mereka akan terus singgah untuk menikmati makanan di situ.

    “Tarikan di sini adalah mangkuk yang besar. Mereka masuk ke restoran ini sebab mangkuk itu. Bagaimanapun kami turut mementingkan rasa ramen yang disediakan di sini.

    “Kebanyakan pelanggan dapat menerima dan menikmati ramen yang dijual di sini walaupun ia berkonsepkan makanan Jepun,” katanya kepada Bernama, di sini.

    Para pelancong terpegun memerhatikan mangkuk besar seberat 6.4 kilogram digunakan untuk menghidangkan mee di restoran ‘My Voice Cafe and Studio Big Bowl Ramen’ ketika mengunjungi Chew Jetty. – Bernama

    Pengurus operasi restoran itu, Adrian Chee Tong Wai, kebanyakan pelanggan yang datang ke restoran itu terkejut melihat mangkuk yang besar dan mereka akan terus singgah untuk menikmati makanan di situ. – Bernama

    Seorang pekerja restoran ‘My Voice Cafe and Studio Big Bowl Ramen’ di Chew Jetty, menyediakan mee dalam mangkuk besar seberat 6.4 kilogram yang dipesan pelanggannya. – Bernama
    Seorang pekerja restoran ‘My Voice Cafe and Studio Big Bowl Ramen’ di Chew Jetty, menyediakan mee dalam mangkuk besar seberat 6.4 kilogram yang dipesan pelanggannya. – Bernama

    Beliau berkata idea untuk membuka restoran makanan Jepun ini diperoleh selepas pemilik restoran itu melancong ke Jepun.

    “Pada peringkat awal kami mengupah chef dari Jepun untuk mengajar chef tempatan selama setahun lebih. Selepas chef kami menguasai cara memasak ramen chef Jepun ini pulang ke negaranya.

    “Pada mulanya kami bimbang juga pelanggan tidak suka makanan Jepun, namun sebaliknya apabila rata-rata mereka dapat menerima makanan yang kami sediakan,” katanya.

    Chee berkata selain di Chew Jetty, restoran cawangan turut dibuka di Bay Avenue berdekatan Queensbay Mall di sini dan Desa Sri Hartamas, Kuala Lumpur.

    Beliau berkata pemilihan lokasi restoran itu di Chew Jetty adalah kerana kawasan itu adalah tumpuan pelancong walaupun agak tersorok.

    “Selepas kami membuka cawangan di Chew Jetty Mei tahun lepas sambutan agak memberangsangkan mungkin kerana tarikan daripada mangkuk besar.

    Para pelancong tidak melepaskan peluang menikmati mee yang dihidangkan dalam mangkuk besar seberat 6.4 kilogram di restoran ‘My Voice Cafe and Studio Big Bowl Ramen’ di Chew Jetty. – Bernama
    Para pelancong tidak melepaskan peluang menikmati mee yang dihidangkan dalam mangkuk besar seberat 6.4 kilogram di restoran ‘My Voice Cafe and Studio Big Bowl Ramen’ di Chew Jetty. – Bernama
    Seorang pekerja restoran ‘My Voice Cafe and Studio Big Bowl Ramen’ di Chew Jetty, menunjukkan mee yang dihidangkan dalam mangkuk besar seberat 6.4 kilogram kepada pelanggannya. – Bernama
    Seorang pekerja restoran ‘My Voice Cafe and Studio Big Bowl Ramen’ di Chew Jetty, menunjukkan mee yang dihidangkan dalam mangkuk besar seberat 6.4 kilogram kepada pelanggannya. – Bernama
    Pelayan tidak menang tangan melayan pengunjung yang menikmati mee dalam mangkuk besar seberat 6.4 kilogram di restoran ‘My Voice Cafe and Studio Big Bowl Ramen’ di Chew Jetty. – Bernama
    Pelayan tidak menang tangan melayan pengunjung yang menikmati mee dalam mangkuk besar seberat 6.4 kilogram di restoran ‘My Voice Cafe and Studio Big Bowl Ramen’ di Chew Jetty. – Bernama

    “Restoran ini dapat menampung 70 pelanggan bagi satu masa dan jumlahnya bertambah terutamanya pada cuti sekolah atau cuti am sehingga pelanggan kena beratur untuk menunggu giliran,” katanya.

    Ditanya sama ada pihaknya mempunyai rancangan untuk meluaskan pasaran restorannya kepada orang Islam, Chee berkata rancangan itu ada, bagaimanapun memerlukan perancangan yang teliti.

    “Kami mencubanya sekali tetapi tidak begitu berjaya. Kami buka stall berhampiran Hotel Vistana. Tapi disebabkan beberapa masalah kami terpaksa tutup gerai itu,” katanya.

    Beliau berkata orang Islam juga ramai yang meminta supaya pihaknya menyediakan ramen halal di Facebook.

    Katanya, untuk menyediakan ramen halal pihaknya perlu mencari chef beragama Islam dan memohon sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda