Wednesday, March 12, 2025
30.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mangsa banjir di Beaufort, Membakut terima bantuan tunai RM1,300 – Hajiji

    BEAUFORT, 11 MAC – Setiap keluarga mangsa banjir di Beaufort dan Membakut menerima bantuan tunai kecemasan berjumlah RM1,300 daripada kerajaan Persekutuan dan Sabah, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

    Beliau berkata daripada jumlah itu, RM1,000 diperuntukkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) manakala RM300 lagi daripada Yayasan Kebajikan Sabah (YKS).

    “Selain bantuan tunai, setiap keluarga yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) juga akan menerima bantuan makanan,” katanya dalam kenyataan selepas melawat PPS Dewan Datuk Seri Panglima Mohd Dun Banir di sini hari ini, yang menempatkan 412 mangsa terdiri daripada 147 keluarga.

    Ketua Menteri juga melawat PPS Dewan Kesenian Islam, Membakut yang kini menempatkan 836 mangsa daripada 278 keluarga untuk memberikan bantuan sama kepada mangsa banjir.

    Turut hadir mengiringi Hajiji ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Safar Untong dan Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin.

    Jumlah mangsa banjir yang berlindung di 29 PPS di Sabah kekal tidak berubah dengan 4,530 orang daripada 1,488 keluarga setakat tengah hari ini melibatkan empat daerah.

    Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah (JPBN) berkata jumlah mangsa banjir tertinggi adalah di Beaufort, dengan tujuh PPS menempatkan 1,719 orang daripada 556 keluarga, manakala di Membakut, 914 orang daripada 312 keluarga berada di lima PPS.

    Hajiji berkata beliau ke kawasan terjejas untuk bertemu dengan mangsa serta melihat sendiri keadaan di sana, dengan beliau memberi jaminan kepada mangsa banjir yang kerajaan memahami kesulitan dialami mereka.

    Ketua Menteri juga melawat sekitar pekan Beaufort yang masih dilanda banjir dan diberi taklimat oleh Pegawai Daerah Mohd Nazri Ajun. – Bernama

    Hajiji Noor ketika melawat mangsa banjir di Dewan Sri Panglima Mohd Dun Banir. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda