Mangsa banjir di Johor kurang kepada 640 orang

JOHOR BAHRU, 24 JUN – Jumlah mangsa banjir di Johor menurun kepada 640 orang daripada 161 keluarga setakat 4 petang ini berbanding 798 orang daripada 206 keluarga yang direkodkan pagi tadi susulan penutupan beberapa pusat pemindahan sementara (PPS).

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, R.Vidyananthan berkata tiga PPS, masing-masing di daerah Muar, Pontian dan Kulai telah ditutup secara berperingkat sejak 2.30 petang hingga 4 petang ini.

“Daerah Muar masih mempunyai jumlah mangsa banjir yang tertinggi iaitu seramai 223 orang daripada 61 keluarga, diikuti Batu Pahat de-ngan 211 orang daripada 45 keluarga sementara Pontian merekodkan 206 mangsa daripada 55 keluarga,” menurut beliau dalam satu kenyataan di sini, hari ini. – Bernama