KOTA KINABALU, 6 APRIL – Jumlah mangsa banjir penduduk empat kampung yang berlindung di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Garam di sini, kekal 131 orang daripada 29 keluarga setakat 8 pagi ini.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah dalam kenyataan memaklumkan jumlah itu tidak berubah sejak malam tadi dan trend pemindahan adalah kekal.
Pada 2 April, Kinabatangan diisytihar sebagai kawasan bencana banjir berikutan hujan berterusan dan kenaikan paras air sungai ke tahap bahaya.
Tujuh kampung di daerah yang terletak kira-kira 306 kilometer dari Kota Kinabalu itu, terjejas banjir dan sebuah PPS dibuka iaitu di SK Bukit Garam yang beroperasi sejak 6 petang Rabu. – Bernama
