KUALA LUMPUR, 14 APRIL – Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sabah menunjukkan peningkatan setakat jam 8 pagi ini berbanding petang semalam manakala di Johor jumlahnya semakin berkurangan.
Di Sabah, jumlah mangsa meningkat kepada 875 orang daripada 254 keluarga pagi ini yang ditempatkan di 10 PPS, berbanding 687 orang daripada 191 keluarga petang semalam.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah memaklumkan Beaufort dan Keningau merupakan daerah baharu menyaksikan mangsa banjir dipindahkan pagi ini, semasa Nabawan dan Sook terus menyediakan tempat perlindungan kepada mangsa banjir.
Nabawan mencatat jumlah mangsa tertinggi dengan 467 orang daripada 119 keluarga yang ditempatkan di enam PPS diikuti Sook dengan 232 mangsa daripada 77 keluarga di dua PPS, Beaufort dengan 108 mangsa daripada 40 keluarga di satu PPS, dan Keningau dengan 68 mangsa daripada 18 keluarga di satu PPS.
“Sebanyak 40 kampung terjejas akibat banjir dengan 30 kampung daripadanya di Nabawan, enam kampung di Beaufort dan masing-masing dua kampung di Sook dan Keningau,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
