KUCHING, 31 JAN – Jumlah mangsa banjir yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Sarawak meningkat kepada 171 orang petang ini, berbanding seramai 133 pagi tadi.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak dalam kenyataan hari ini memaklumkan sebanyak empat PPS kini dibuka di dua daerah yang dilanda banjir sejak semalam.
Bahagian Serian mencatat jumlah mangsa banjir tertinggi iaitu seramai 144 orang di tiga PPS, manakala Samarahan menempatkan 27 orang di sebuah PPS.
Tinjauan Bernama di sekitar bandar Kuching dan Kota Samarahan hari ini mendapati tiada kampung atau kawasan yang dinaiki air, setakat petang ini.
Setelah 10 hari situasi banjir di Sarawak pulih sepenuhnya, sebuah PPS kembali dibuka di Simunjan di bahagian Samarahan semalam, susulan hujan lebat sejak beberapa hari lepas di negeri ini. – Bernama