Tuesday, May 13, 2025
25 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mangsa banjir diberi bantuan

    Oleh Sim Y. H.
    Gambar serahan JBP

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 OGOS – Ketika Negara Brunei Darussalam dilanda penularan wabak COVID-19, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) terus prihatin dalam mengambil berat mengenai aspek keselamatan dan kebajikan keluarga mangsa banjir serta sentiasa memantau kawasan-kawasan terjejas di pedalaman Daerah Tutong dan Daerah Belait.

    Sehubungan itu, agihan bantuan berupa makanan daripada orang awam kepada mangsa banjir turut diadakan, menurut kenyataan dikeluarkan JBP di sini hari ini.

    Tiga orang anggota bomba dan penyelamat diketuai Pemangku Stesen Komander, Pemangku Pegawai Balai Robert Anak Uja dari Balai Bomba Lamunin memberikan bantuan perahu membawa ahli Komuniti Misi Kemanusiaan (KMK), Haji Idris bin Haji Mohamad, Awang Latip bin Ajak dan Muhammad Amirul Aqil bin Abdullah Ang mengagihkan sumbangan makanan kepada mangsa banjir di kawasan Kampung Bangkuru, Mukim Rambai bersama Pemangku Ketua Kampung Merimbun pada 27 Ogos lalu.

    Kawasan-kawasan di Mukim Rambai itu masih ditenggelami air sehingga ke hari ini dengan Jalan Bangkuru mencatatkan ketinggian air 0.5 meter, Jalan Rumpou 0.25 meter, Jalan Bang Pangan dengan ketinggian air mencecah 0.34 meter dan Jalan Kecil Layong dengan ketinggian air mencecah 0.30 meter.

    JBP turut menyarankan orang ramai untuk peka dengan maklumat keadaan cuaca dikeluarkan Jabatan Kaji cuaca Brunei Darussalam dan memastikan pintu rumah, jendela dalam keadaan tertutup rapat jika mereka tiada di rumah, bagi mengelakkan binatang-binatang liar memasuki rumah mereka serta sentiasa memastikan dan menjaga keselamatan kanak-kanak supaya tidak bermain dengan air takungan atau longkang akibat banjir bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.

    Meskipun Negara Brunei Darussalam dicengkam penularan wabak COVID-19 dan kebanyakan perhatian tertumpu dalam usaha-usaha menanganinya, mangsa-mangsa bencana lain seperti banjir tidak diabaikan. Keadaan banjir di kawasan terjejas dan kebajikan mereka terus dipantau oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat dan orang ramai yang menghulurkan bantuan asasi kepada yang terjejas banjir di pedalaman Daerah Tutong dan Belait. – Gambar serahan JBP
    ATAS & BAWAH: Pegawai dan anggota dari Balai Bomba Lamunin memberikan bantuan perahu kepada ahli-ahli KMK dalam mengagihkan sumbangan kepada mangsa banjir di kawasan Kampung Bangkuru, Mukim Rambai pada 27 Ogos lalu.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda