Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 2 JAN – Hujan lebat yang turun menjelang tahun baharu lalu telah menjejaskan banyak rumah terutamanya di kawasan-kawasan rendah dan yang sering mengalami banjir, menyebabkan kerugian kepada para penghuni.
Salah seorang mangsa banjir kilat, Dayang Zaharah binti Lajim berkongsi pengalamannya semasa kejadian itu di mana menurutnya, limpahan air bercampur tanah mengalir deras memasuki bahagian depan dan belakang ruang kediamannya sehingga sukar untuk menyelamatkan satu persatu barang-barang yang ada di depan mata.
Ibu tunggal yang tinggal bersama seorang anak lelakinya di kediaman mereka yang terletak di Kampung Tungku Gadong itu turut berkata bahawa rumah mereka sering kali dilanda banjir namun kali ini keadaan semakin teruk disebabkan pihak pemaju tanah yang hendak membangun rumah bersebelahan rumah mereka itu tidak mempunyai saluran air buat masa ini.
Berikutan itu, ia juga menyebabkan kawasan rumahnya menjadi semakin rendah sehingga mengakibatkan limpahan air bah apabila hujan yang berterusan begitu cepat memasuki dan merosakkan harta benda yang sedia ada.