Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mangsa banjir kilat dicari melalui sungai dan runtuhan

    TANAH DATAR, 14 MEI – Penyelamat pada hari ini mencari mayat di sungai dan runtuhan perkampungan yang musnah, dan jika boleh, mangsa yang terselamat daripada banjir kilat yang melanda Pulau Sumatera di Indonesia pada hujung minggu.

    Hujan monsun dan tanah runtuh lumpur dan lahar sejuk dari Gunung Marapi menyebabkan sungai pecah tebingnya. Banjir melanda perkampungan lereng gunung di empat daerah di wilayah Sumatera Barat sejurus sebelum tengah malam Sabtu.

    Banjir itu menghanyutkan orang ramai dan 79 rumah serta menenggelamkan ratusan rumah dan bangunan, menyebabkan lebih 3,300 penduduk terpaksa melarikan diri ke pusat perlindungan sementara kerajaan, kata jurucakap Agensi Pengurusan Bencana Negara Abdul Muhari.

    Muhari berkata 50 mayat telah ditarik dari lumpur dan sungai pada hari ini, kebanyakannya di daerah Agam dan Tanah Datar yang paling teruk dilanda, manakala penyelamat sedang mencari 27 orang yang dilaporkan hilang.

    Laporan televisyen menunjukkan anggota penyelamat menggunakan tukul besi, gergaji bulat, peralatan ladang dan kadangkala tangan kosong mereka, menggali bermati-matian di daerah Agam di mana jalan raya berubah menjadi sungai coklat keruh dan kampung yang dilitupi lumpur tebal, batu, dan pokok tumbang.

    Puluhan anggota penyelamat sedang mencari melalui sungai di sekitar kawasan Air Terjun Lembah Anai di daerah Tanah Datar di mana banyak lumpur, batu dan pokok ditinggalkan akibat banjir kilat.

    Pasukan penyelamat tertumpu untuk mencari empat orang daripada sekumpulan tujuh orang yang dihanyutkan bersama kereta mereka. Tiga lagi mayat ditarik keluar, kelmarin, kata Abdul Malik, yang mengetuai Pejabat Mencari dan Menyelamat di Padang, ibu kota wilayah itu.

    “Dengan banyak yang hilang dan beberapa kawasan terpencil masih tidak dapat dihubungi, angka kematian mungkin meningkat,” kata Malik. – AP

    Pasukan penyelamat membawa mayat mangsa banjir kilat di Tanah Datar, Sumatera Barat, Indonesia, kelmarin. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda