Sunday, February 2, 2025
32.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mangsa banjir Sabah, Sarawak masih tinggi

    KUALA LUMPUR, 2 FEB – Jumlah mangsa banjir di Sarawak berkurangan namun masih melepasi angka 12,000 orang pagi tadi manakala di Sabah merekodkan peningkatan jumlah mangsa yang dipindahkan di pusat pemindahan sementara (PPS) berbanding malam kelmarin.

    Di Sarawak, sebanyak 12,116 mangsa masih di tempatkan di 62 buah PPS setakat jam 8 pagi tadi dengan enam bahagian terjejas, berbanding 12,423 mangsa malam kelmarin.

    Berdasarkan laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, jumlah mangsa dipindahkan di Bahagian Bintulu (melibatkan daerah Bintulu, Tatau dan Sebauh) adalah 5,184 orang dan Serian (daerah Serian, Siburan dan Balai Ringin) seramai 2,617 mangsa, 

    Bahagian Samarahan (daerah Samarahan, Asajaya, Sebuyau, Simunjan dan Gedong) pula merekodkan 1,926 mangsa;  Bahagian Sibu (daerah Sibu, Selangau dan Kanowit) 1,189 mangsa; Bahagian Miri (daerah Miri, Subis dan Beluru) mangsa yang dicatatkan adalah 1,138 orang; manakala Bahagian Mukah (daerah Mukah dan Matu) 62 orang.

    Manakala di Sabah, jumlah mangsa banjir sedikit meningkat kepada 1,651 orang daripada 537 keluarga pada pukul 8 pagi tadi berbanding 1,485 orang daripada 493 keluarga pada malam kelmarin.

    Sekretariat JPBN Sabah melaporkan daerah Tongod yang pulih petang semalam, kembali dilanda banjir dengan dua PPS dibuka, menjadikan lima daerah yang masih dilanda banjir.

    Pitas kekal mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 819 mangsa (301 keluarga), diikuti Lahad Datu kekal dengan 520 mangsa (140 keluarga), Tongod dengan 155 mangsa (41 keluarga), Beaufort kekal dengan 110 mangsa (32 keluarga) dan Paitan dengan 47 mangsa (23 keluarga). – Bernama 

    Ida Mariana Maripan (kiri) dan jirannya Noraidah Lamada (kanan) bersama anak masing-masing dari Kampung Sumbilingon Laut antara 300 penduduk setempat yang dipindahkan ke Pusat Penempatan Sementara (PPS) SMK Bandau akibat banjir. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda