Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 12 JUN – Bagi meringankan beban serta kesusahan yang dialami oleh mangsa-mangsa bencana, seramai 27 orang ketua keluarga hari ini menerima bantuan kewangan daripada kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, melalui Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS).
Majlis penyampaian bantuan yang diadakan di Dewan Citra Budaya, KKBS itu disempurnakan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad.
Daripada 27 penerima tersebut, tiga ketua keluarga merupakan mangsa kejadian angin kencang, dua ketua keluarga terlibat kejadian kebakaran, 21 ketua keluarga mengalami kesan akibat banjir, dan seorang ketua keluarga terjejas disebabkan kediaman yang tidak selamat.
Kesemua mangsa yang terlibat dalam kejadian bencana berkenaan berada dalam keadaan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Penyampaian bantuan itu merupakan cerminan keprihatinan berterusan pihak kerajaan terhadap kebajikan rakyat dan penduduk yang ditimpa musibah, agar dapat meneruskan kehidupan dengan lebih sejahtera dan bermaruah.