DHAKA, 30 – Jumlah kematian akibat kejadian bot karam pada Selasa di daerah tengah Bangladesh meningkat kepada 10 orang selepas lima lagi mayat ditemukan, lapor agensi berita China Xinhua.
Menurut polis tempatan, mayat ditemukan di sungai Panguchi di daerah Bagerhat kira-kira 178 kilometer barat daya ibu negara Dhaka.
Bot yang sarat dengan penumpang seramai kira-kira 70 orang itu karam pada Selasa.
“Lima mayat lagi ditemui pada pagi Khamis menjadikan jumlah keseluruhan kematian seramai 10 orang,” kata superintenden polis wilayah Bagerhat Moniruzzaman Mithu kepada Xinhua.
Beliau berkata operasi mencari 13 lagi mangsa hilang masih dijalankan.
Sementara itu, Timbalan Penolong Pengarah Perkhidmatan Bomba dan Pertahanan Awam Bangladesh Masud Sarder berkata, operasi mencari mengalami kesukaran kerana terpaksa melawan arus kuat dan sungai bergelora.
Kejadian bot dan feri karam sering berlaku di Bangladesh kerana terdapat kira-kira 250 sungai dengan laluan bersimpang-siur. Kedua-dua pengangkutan itu masih menjadi pengangkutan utama di negara itu dan sering lebih muatan. – Bernama