Friday, November 15, 2024
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mangsa buli sekolah dedah ‘kisah gelap’

    Gambar AFP

    BUSAN KOREA SELATAN – Jarum disembunyikan dalam kasutnya, kepala dipaksa masuk ke dalam mangkuk tandas, ditendang di perut: Pendandan rambut Korea, Pyo Ye-rim mengalami rentetan penganiyaan daripada pembuli di sekolah, tetapi kini dia bersuara.

    Pyo Ye-rim yang berusia 26 tahun merupakan sebahagian daripada fenomena yang melanda Korea Selatan dikenali sebagai ‘Hakpok #MeToo’, di mana individu yang pernah dibuli di sekolah mendedahkan dan memalukan secara terbuka para pelaku keganasan di sekolah yang dikenali sebagai ‘hakpok’ dalam bahasa Korea, beberapa dekad selepas peristiwa tersebut.

    Dikenali di peringkat global melalui siri balas dendam yang penuh aksi ‘The Glory’ di Netflix, pergerakan itu telah menarik perhatian semua orang daripada bintang K-pop hingga pemain besbol, Tuduhan-tuduhan itu selalunya tanpa nama, boleh merosakkan kerjaya individu dan menerima simpati meluas dari masyarakat terhadap mangsa-mangsa tersebut.

    Sebagai seorang pelajar sekolah, Pyo mengatakan dia menderita keseorangan. Guru-gurunya memberitahunya “untuk menjadi lebih mesra” kepada pembulinya dan penderaan itu tidak dibendung selama bertahun-tahun, akhirnya memaksanya untuk melepaskan impian pendidikannya yang lebih tinggi dan meninggalkan sekolah untuk menjalani latihan vokasional.

    “Hanya ada satu perkara yang saya harapkan. Saya berharap seseorang dapat membantu saya,” katanya kepada AFP, sambil menambah bahawa tiada siapa datang membantunya dan akhirnya dia “melarikan diri dan berjuang untuk bertahan sendiri.”

    Noh yang pakar dalam kes buli, merakam gambar semasa temu bual dengan AFP di pejabatnya di Seoul.
    Pyo bercakap semasa wawancara dengan AFP di salun rambutnya di Busan, 29 Mac.
    Pyo menyapu lantai salun rambutnya semasa wawancara dengan AFP di Busan.

    Di Korea Selatan yang mementingkan pendidikan, di mana kanak-kanak boleh menghabiskan waktu sehingga 16 jam sehari untuk belajar di sekolah dan di akademi swasta, buli adalah sesuatu yang berleluasa, kata pakar, walaupun usaha rasmi untuk menghapuskannya.

    Masalahnya, kata aktivis, adalah pembuli sering kali tidak dihukum secara langsung di sekolah, dan tempoh masa terhad atas jenayah tersebut menyukarkan mangsa untuk mengemukakan tuduhan bertahun-tahun kemudian.

    Pyo mengatakan bahawa dia mengalami insomnia dan kemurungan selama bertahun-tahun akibat apa yang dihadapinya di sekolah, sebelum memutuskan untuk berhenti bersembunyi dan mendedahkan tuduhannya kepada umum yang mengakibatkan salah seorang pembulinya dipecat daripada pekerjaannya.

    Tetapi Pyo sedang memperjuangkan perubahan undang-undang sebenar, menuntut Korea Selatan menangguhkan tempoh masa terhad yang mempengaruhi keganasan di sekolah dan menukar undang-undang fitnah untuk melindungi mangsa dengan lebih baik.

    Siri ‘The Glory’ di Netflix yang mengisahkan tentang balas dendam seorang wanita yang dirancang dengan teliti selepas mengalami penganiayaan selama bertahun-tahun oleh pembuli sekolah menengah membantu meningkatkan perbincangan nasional Korea Selatan mengenai buli.

    Sebagai tanda ironi bagaimana masalah ini tersebar luas, selepas rancangan tersebut menjadi popular, pengarah Ahn Gil-ho sendiri dituduh membuli remaja dan terpaksa meminta maaf.

    Malah pejabat presiden Korea Selatan baru-baru ini terpaksa menarik balik pelantikan tertinggi polis selepas anak calon itu telah membuli rakan sekelasnya, yang mencetuskan reaksi negatif orang ramai.

    Keganasan sekolah merupakan sesuatu yang berleluasa di sekolah Korea Selatan, Noh Yoon-ho, seorang peguam berpangkalan di Seoul yang pakar dalam kes buli memberitahu AFP, sambil menambah bahawa ia adalah ‘trauma kolektif’ yang perlu ditangani oleh negara tersebut.

    “Setiap warga Korea Selatan yang pergi ke sekolah telah menjadi mangsa atau menyaksikan pelajar lain dibuli dan tidak dibantu, kita semua mempunyai kenangan tentang perkara ini,” kata Noh.

    Pergerakan ‘Hakpok #MeToo’ telah membantu ramai mangsa untuk menghilangkan rasa malu dengan pengalaman mereka, dan menyedari mereka tidak dibuli “kerana mereka kekurangan sesuatu,” tambahnya.

    Tetapi masalahnya ialah masih belum ada sistem di peringkat sekolah di mana mangsa boleh “mendekati tanpa keraguan untuk mendapatkan respons segera dan mencukupi apabila insiden berlaku”, kata Jihoon Kim, seorang profesor kriminologi yang telah meneliti tentang buli di Korea Selatan, memberitahu AFP.

    Pyo dan mangsa lain menyatakan bahawa Korea Selatan harus menghapuskan undang-undang sekatan ke atas keganasan sekolah supaya pembuli boleh bertanggungjawab walaupun beberapa dekad kemudian.

    Tetapi terdapat isu praktikal yang besar dalam menghukum undang-undang orang dewasa secara sah untuk jenayah yang dilakukan sebagai juvana, kata Noh, yang boleh menyebabkan catatan rekod jenayah yang berpanjangan bagi kesalahan remaja.

    Pyo juga menyeru agar undang-undang fitnah jenayah Korea Selatan diperbaharui, yang pada masa ini membenarkan pembuli menyaman penuduh untuk memenangi tuntutan ganti rugi walaupun mangsa mengatakan perkara yang sebenarnya.

    Kebanyakan tuduhan tersebut tanpa nama tetapi telah mengakibatkan pembuli dipecat atau dalam kes salah seorang pemain besbol paling berjaya di Korea Selatan, dikecualikan daripada pasukan kebangsaan. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda