Sunday, April 27, 2025
30.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mangsa culik Abu Sayyaf diselamatkan

    MANILA, 22 DIS – Tentera Filipina menyelamatkan dua kelasi warga Indonesia yang diculik oleh kumpulan Abu Sayyaf, kata pihak berkuasa tentera.

    AFP melaporkan, kejadian turut menyebabkan seorang tentera dan anggota kumpulan terbabit terbunuh dalam pertempuran yang berlarutan selama 30 minit di bandar pergunungan Panamao di selatan pulau Jolo.

    “Ketika pertempuran itu, dua mangsa berjaya melarikan diri sebelum kami menyelamatkan mereka,” kata komander tentera Leftenan Jeneral Cirilito Sobejana.

    Mereka antara tiga yang diculik oleh kumpulan itu pada September lalu berhampiran pulau Mindanao.

    Sobejana berkata, mereka masih melakukan operasi tentera di kawasan itu untuk menyelamatkan semua yang diculik.

    “Kami akan berusaha sedaya yang mungkin dan kami yakin akan menemui warga Indonesia lainnya yang hilang,” katanya kepada pemberita.

    Tambahnya “Dia sama ada sudah menyelamatkan diri atau masih ditahan kumpulan terbabit. Kami menjangkakan terdapat satu lagi pertempuran selepas ini,” katanya.

    Para nelayan Indonesia telah diculik pada September lalu semasa berada di luar perairan Sabah, Malaysia dan dibawa ke pangkalan mereka di perhutanan Sulu.

    Operasi menyelamat mangsa berkenaan dilakukan selepas anggota tentera berjaya menewaskan anggota Abu Sayyaf, yang merupakan kumpulan pengganas yang telah disenaraihitamkan oleh Amerika Syarikat dan Filipina. – AFP

    Dua kelasi warga Indonesia yang diculik oleh kumpulan Abu Sayyaf telah berjaya diselamatkan oleh anggota tentera Filipina. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda