WELLINGTON, 30 Jan – Pasukan penyelamat yang mencari mangsa dari sebuah feri tenggelam di kawasan terpencil Pasifik berkata hari ini mereka tidak pasti jumlah orang yang berada dalam kapal yang hilang itu, di tengah laporan mengatakan ia mungkin dua kali ganda daripada 50 orang yang dianggarkan sebelum ini.
Presiden Kiribati Taneti Maamau berkata sehingga 100 orang mungkin berada dalam kapal MV Butiraoi dan memanjatkan doa selama seminggu untuk mangsa yang hilang, menurut laporan daripada Radio Kiribati.
Feri itu bertolak dari Kiribati pada 18 Januari bagi pelayaran selama dua hari dan pegawai mengeluarkan amaran kecemasan pada Jumaat lalu selepas gagal menerima apa-apa berita selama lebih seminggu.
Tujuh mangsa ditemui Ahad lalu dan pasukan penyelamat sedang mencari di lautan yang lebih luas berbanding Itali untuk mencari mangsa selebihnya.
Pusat Penyelarasan Menyelamat NZ berkata ia sedar tentang komen Maamau tetapi tidak dapat mengesahkan sebarang jumlah.
“Maklumat yang kami peroleh daripada mangsa hari ini, dalam keadaan ketika mereka mampu bercakap, adalah di antara 35 dan 40, dan orang lain pula ada yang berkata 50,” beritahu jurucakap kepada AFP.
“Sebenarnya kami tidak tahu, kami tidak mempunyai senarai nama, tanpanya kami tidak tahu jumlah penumpang dalam feri.”
Maamau juga dilaporkan berkata Butiraoi tidak layak untuk belayar dan tidak sepatutnya bertolak.
Katamaran kayu sepanjang 17.5 meter itu dipercayai telah terkandas dan menjalani kerja-kerja membaiki di syaf kipas sebelum memulakan perjalanan.
Pesawat udara dari New Zealand, Australia dan Amerika Syarikat telah digunakan untuk mencari mangsa di kawasan tersebut. – AFP