MANILA, 29 JULAI – Angka kematian akibat gempa bumi di utara Filipina meningkat kepada 10 orang hari ini selepas empat lagi mayat ditemui di bawah runtuhan, menurut pihak berkuasa, ketika gegaran susulan terus melanda wilayah pergunungan itu.
Para penyelamat di bandar Luba, di wilayah Abra yang paling teruk terjejas, telah menemukan mayat-mayat tersebut di persimpangan jalan yang tertimbus oleh tanah susur semasa gempa berukuran 7 magnitud Rabu lalu, kata pegawai pertahanan awam kepada AFP.
Tanah susur dan bangunan runtuh telah membunuh enam orang lain di Abra dan wilayah berhampiran, menurut kenyataan pihak berkuasa sebelum ini. Manakala lebih 150 orang mengalami kecederaan.
Gempa kuat melanda seluruh rantau itu, merosakkan ribuan kediaman dan mengakibatkan bangunan runtuh dan menggegarkan bangunan-bangunan tinggi yang terletak ratusan kilometer di ibu kota Manila.
Helikopter tentera telah memberikan bantuan makanan dan bekalan kecemasan lainnya ke wilayah itu, di mana hampir 5,000 orang masih berada di pusat-pusat pemindahan, menurut jabatan kebajikan masyarakat.
Para petugas bertungkus-lumus membersihkan serpihan yang menghalang jalan utama selepas runtuhan. – AFP
