Tuesday, May 13, 2025
25.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mangsa kebakaran di Bangladesh meningkat

    DHAKA, 29 Mac – Bilangan kematian akibat kebakaran mengerikan yang berlaku di sebuah bangunan pencakar langit Bangladesh meningkat kepada 25 orang hari ini, termasuk beberapa mangsa yang maut selepas melakukan lompatan dari bangunan itu untuk menyelamatkan diri.

    Sehari selepas kebakaran yang meranapkan menara FR Tower yang memiliki 22 tingkat itu, beratus-ratus pekerja pejabat telah terjejas, di mana polis berkata mereka berhasrat untuk bercakap dengan pemilik bangunan itu sebagai sebahagian daripada siasatan mereka.

    Sebahagian daripada mereka yang terperangkap dalam insiden kebakaran itu membuat tindakan pantas untuk menyelamatkan diri, manakala sebahagiannya lagi mengambil keputusan untuk melakukan lompatan dalam usaha mereka untuk menyelamatkan diri daripada kebakaran itu.

    Sekurang-kurangnya enam orang termasuk rakyat Sri Lanka terkorban selepas melakukan lompatan tersebut, kata para pegawai.

    Seorang anggota kanan perkhidmatan bomba, Mohsin Ali memberitahu AFP bahawa para penyelamat sedang memeriksa bangunan tersebut, menumpukan perhatian pada tingkat kelapan hingga ke-10, di mana tingkat yang paling teruk terjejas. Jabatan bomba secara amnya meletakkan angka kematian kepada 19 tetapi polis berkata hari ini bahawa enam lagi ditemui maut dalam kebakaran tersebut.

    “Jumlah kematian adalah 25. Kami telah menyerahkan 24 mayat kepada saudara-mara mereka,” kata Timbalan Pesuruhjaya Polis Metropolitan Dhaka Mostak Ahmed kepada AFP.

    Ahmed berkata polis juga mahu bercakap dengan pemilik bangunan selepas pihak berkuasa mendakwa menara itu tidak mempunyai langkah keselamatan yang mencukupi.

    Tiada petunjuk terdapatnya mangsa yang hilang, tetapi lebih daripada 70 orang telah dirawat di hospital berikutan kebakaran itu. – AFP

    Seorang anggota bomba Bangladesh berdiri di hadapan bangunan terbakar di Dhaka, kelmarin, sehari selepas satu kebakaran yang meranapkan Menara FR 22 tingkat. Bilangan kematian akibat kebakaran mengerikan yang berlaku di sebuah pencakar langit Bangladesh meningkat kepada 25. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda