Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 4 JAN – Dengan matlamat untuk meringankan bebanan, Jabatan Urusan Zakat, Wakaf dan Baitulmal menyerahkan agihan wang zakat kepada mangsa-mangsa kebakaran rumah di Kampung Bolkiah A dalam majlis yang berlangsung di Dewan Multaqa, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Jalan Dewan Majlis, hari ini.
Agihan wang zakat telah disampaikan oleh Pemangku Setiausaha Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB), Jabatan MUIB, KHEU, Haji Hamzah bin Haji Sabtu kepada seramai 14 orang penerima yang terdiri daripada lima buah kelamin.
Mangsa-mangsa kebakaran rumah berkenaan menerima sebanyak $200 setiap seorang dan ditambah dengan agihan persekolahan $100 setiap seorang, bagi dua orang cucu.
Jumlah keseluruhan wang zakat yang diserahkan adalah sebanyak $3,000 yang diambil daripada peruntukan Kumpulan Wang Zakat Asnaf Fakir Miskin.
Kejadian kebakaran rumah yang didiami oleh Awang Rosli bin Haji Tuah dan mangsa-mangsa yang lain berlaku pada 31 Disember lalu mengakibatkan keseluruhan rumah musnah.
Pada masa ini, kesemua mangsa tinggal sementara di rumah yang disediakan oleh pihak Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah di Kampung Bolkiah A iaitu tidak jauh dari rumah asal mangsa kebakaran.



