Oleh Siti Nur Wasimah S.
BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Feb – Dalam usaha untuk meringankan beban yang ditanggung mangsa-mangsa kejadian kebakaran rumah yang berlaku baru-baru ini di Perpindahan Kampung Lambak Kanan dan Kampung Lumapas ‘B’, Majlis Ugama Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), hari ini, telah menyerahkan sejumlah $2,400 wang agihan zakat.
Hadir menyampaikan bantuan zakat kepada dua buah keluarga yang diadakan di Bilik Seroja, KHEU itu ialah Pemangku Setiausaha Majlis Ugama Islam, Haji Abdul Aziz bin Haji Akop.
Majlis itu menyaksikan Haji Abdul Aziz menyerahkan agihan wang zakat berjumlah $400 kepada dua mangsa kebakaran rumah milik Haji Awang Mahri bin Awang Jambul yang terjadi pada 31 Januari lalu di Perpindahan Kampung Lambak Kanan.
![ATAS/BAWAH: Haji Abdul Aziz ketika menyampaikan pengagihan wang zakat kepada mangsa-mangsa kebakaran rumah.](http://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2017/02/P4-1A_23217.jpg)
Sementara itu, ketua keluarga Awang Mohd Tarip bin Abdul Ghani dari Kampung Lumapas ‘B’ bersama sembilan orang ahli keluarganya telah menerima agihan wang zakat sebanyak $2,000 di samping bantuan alat-alat persekolahan, yang mana kejadian kebakaran rumahnya berlaku pada 9 Februari lalu.
Agihan wang zakat daripada peruntukan Kumpulan Wang Zakat Asnaf Fakir Miskin itu diharap akan dapat meringankan sedikit sebanyak beban yang ditanggung oleh mangsa dan supaya mereka lebih berhati-hati serta sentiasa berwaspada dalam menjaga keselamatan anggota keluarga daripada ditimpa musibah.