Oleh Azlan Othman
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 JUN – Sebagai usaha membantu mengurangkan beban mangsa kebakaran rumah yang berlaku di Kampung Batu Marang dan Kampung Serdang, baru-baru ini, Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB) telah menyerahkan wang zakat kepada mangsa-mangsa berkenaan.
Sejumlah $2,000 telah diagihkan kepada 10 orang mangsa iaitu tiga mangsa kebakaran di Kampung Batu Marang dan tujuh lagi mangsa di Kampung Serdang.
Agihan zakat telah disampaikan oleh Penolong Setiausaha MUIB, Haji Hamzah bin Haji Sabtu pada majlis yang berlangsung di Kementerian Hal Ehwal Ugama, hari ini.
Kejadian kebakaran yang masing-masing berlaku pada 26 Mei dan 3 Jun lalu itu telah memusnahkan dua buah rumah.
Sehingga Jun 2021, MUIB telah mengagihkan sejumlah $13,509,006.78 wang zakat kepada fakir dan miskin menerusi skim pengagihan seperti bantuan bulanan, keperluan asas, persekolahan, bayaran tuisyen, modal kerja, bencana alam, kos rawatan perubatan dan Hari Raya Aidilfitri.
Bantuan itu diharap akan dapat mengurangkan beban mangsa dan menyeru mereka akan lebih berhati-hati serta sentiasa berjaga-jaga dalam menjaga keselamatan keluarga daripada bencana seumpamanya.