Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Jan – Mangsa kejadian kebakaran di Kampung Sungai Hanching pada 28 Disember lalu terus mendapat perhatian dan bantuan daripada pelbagai pihak.
Sehubungan dengan itu, Majlis Ugama Islam Brunei menyerahkan wang agihan zakat berjumlah $600 kepada tiga orang mangsa kebakaran berkenaan dalam satu majlis yang berlangsung di Kementerian Hal Ehwal Ugama, hari ini.
Pada majlis berkenaan, wang agihan zakat disampaikan oleh wakil Pemangku Setiausaha Majlis Ugama Islam, Dayang Jurainah binti Haji Abu Bakar kepada Awang Rosli bin Haji Sabtu, isteri, Dayang Yuslinna binti Ismail dan seorang penyewa berbangsa India beragama Islam, Kalindar Haja Maidin.
Rumah mereka di Kampung Sungai Hanching, Daerah Brunei dan Muara, hangus dijilat api dalam kejadian yang berlaku
kira-kira jam 3:14 petang. Rumah berkenaan adalah kepunyaan Allahyarham Haji Abdullah bin Mohd Jair iaitu nenek kepada Rosli bin Haji Sabtu.
Kesemua wang tunai berkenaan diambil daripada peruntukan Kumpulan Wang Zakat Asnaf Fakir Miskin.