Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Sept – Mangsa kejadian kebakaran yang berlaku baru-baru ini di Rancangan Perumahan Negara (RPN) Kampung Lambak Kanan dan Kampung Sumbiling Lama, mendapat perhatian dan bantuan kerajaan melalui Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB) yang menyerahkan agihan zakat dalam bentuk kewangan sejumlah $6,000 pada majlis penyampaian agihan zakat yang berlangsung di Dewan Multaqa, Lantai Bawah, Bangunan Baru, Kementerian Hal Ehwal Ugama, hari ini.
Di majlis berkenaan, agihan wang zakat berkenaan diserahkan kepada mangsa-mangsa kebakaran yang melibatkan tiga buah rumah yang terdiri daripada 30 orang penghuni di mana agihan wang zakat disampaikan oleh Pemangku Setiausaha Majlis Ugama Islam Brunei, Haji Abdul Aziz bin Haji Akop.
Musibah yang berlaku pada 17 September lalu, sekitar pukul 2:33 petang di RPN Kampung Lambak Kanan, menyebabkan kebakaran kepada rumah kepunyaan Dayang Hamisah binti Haji Tengah di mana kelamin pertama iaitu Dayang Hamisah dan seorang anak menerima $400 dan kelamin kedua iaitu Awang Shamrin bin Haji Abdul Latif @ Haji Latip dan isteri serta lapan orang anak menerima sebanyak $2,000 dan peralatan sekolah.
Musibah kedua berlaku pada 18 September, sekitar pukul 4:30 petang yang melibatkan dua buah rumah di Kampung Sumbiling Lama di mana rumah kelamin pertama iaitu Hajah Siti Zaliha binti Haji Maidin dan dua orang anak menerima $600, kelamin kedua iaitu Dayang Zurinawati binti Nudin bersama dua orang anak menerima $600 dan peralatan sekolah, kelamin ketiga iaitu Awang Asmadi bin Zainal bersama isteri dan dua orang anak menerima sebanyak $800 dan peralatan sekolah serta penghuni di tingkat bawah iaitu Awang Mohd Adika bin Mohd Nasri Meling menerima sebanyak $200 dan Mohamed Batche Sabeer Ahmed menerima sebanyak $200.

Penghuni rumah kedua di Kampung Sumbiling Lama yang ditimpa kejadian kebakaran ialah Wanti yang menerima sebanyak $200, Seraj Ahmad sebanyak $200, Abdur Rahman sebanyak $200, Mohammad Salim sebanyak $200, Mohammad Nafees sebanyak $200 dan Abrar Ahmed sebanyak $200.
Wang bantuan yang diperuntukkan itu diambil daripada peruntukan Kumpulan Wang Zakat Asnaf Fakir Miskin.
Dengan adanya bantuan itu, diharapkan dapat membantu meringankan bebanan yang ditanggung oleh mangsa dengan harapan semoga mereka lebih berhati-hati dan sentiasa berwaspada dalam menjaga keselamatan ahli keluarga daripada ditimpa musibah sebegini.