Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mangsa lemas tak sempat langsungkan perkahwinan

    PORT DICKSON, 24 APRIL – Hasrat anak sulung daripada enam beradik untuk melangsungkan perkahwinan pada November ini tidak kesampaian selepas ditemukan lemas bersama dua adik perempuannya di Pantai Cahaya, dekat sini semalam.

    Sepupu perempuan mereka, R. Thammanty, 30, berkata mangsa, R. Kalaivani, 30 juga telah membuat persiapan untuk mengadakan majlis praperkahwinan dalam waktu terdekat bersama tunang, J. Sathiswaran, 29, yang terselamat ketika kejadian berkenaan.

    “Pemergian mereka amat mengejutkan kami semua. Kalaivani dan Sathiswaran dah bertunang sejak lapan tahun lepas, mereka sedang mengumpul wang untuk melangsungkan perkahwinan November nanti, tapi apakan daya apabila dia bersama dua adiknya pergi dulu.

    “Dia dan tunangnya tinggal di Taiping, Perak dan pulang bercuti di rumah keluarga Kalaivani di Banting, Selangor pada Sabtu lepas. Saya dan sepupu memang sangat rapat, rumah juga berdekatan, tiada sebarang perubahan ditunjukkan ketika kami berjumpa, mereka sangat ceria,” katanya ketika ditemui pemberita di Unit Forensik Hospital Port Dickson hari ini.

    Selain Kalaivani, turut ditemukan lemas dalam kejadian pada 5.57 petang itu adalah adik keduanya Dawige, 29, dan adik bongsu, Sathiyadevi, 19, manakala adik lelaki yang juga anak kelima, Veeran, 26, dan Sathiswaran berjaya diselamatkan oleh orang awam.

    Thammanty berkata, percutian sepupunya bersama ibu mereka, K. Anchalay, 52, semalam juga adalah percutian pertama keluarga itu ke Port Dickson kerana sebelum ini mereka hanya ke kawasan sekitar Selangor sahaja. – Bernama

    S Ravi (kanan) bapa kepada tiga beradik mati lemas ketika mandi manda di Pantai Cahaya, menunggu proses bedah siasat selesai dijalankan di Unit Forensik Hospital Port Dickson. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda