Sunday, March 16, 2025
27.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mangsa letupan dahsyat Beirut dihantui trauma mengerikan

    BEIRUT – Setahun selepas letupan yang dahsyat di pelabuhan Beirut, doktor kepada Shady Rizk masih mengeluarkan serpihan kaca dari tubuhnya. Pengekstrakan terbaharu adalah serpihan kaca sepanjang satu sentimeter di bahagian belakang lututnya.

    “Hampir setiap bulan, saya menjumpai sekeping serpihan kaca baharu… kaca itu masih terlekat di paha, kaki saya, dan saya rasa, juga ada di lengan saya,” kata Rizk, seorang jurutera rangkaian berusia 36 tahun yang terkena pecahan kaca semasa letupan.

    “Doktor mengatakan serpihan kaca akan sentiasa ada di badan saya selama beberapa tahun,” katanya.

    Letupan 4 Ogos yang melanda kota meratakan seluruh kawasan kejiranan, membunuh lebih daripada 200 orang, mencederakan 6,500 yang lain dan menghantui kehidupan mangsa yang terselamat.

    Titik peristiwa gelap dalam sejarah Lubnan sejak itu menjadi tahun mengerikan di tengah-tengah siasatan letupan dan krisis kewangan yang semakin meruncing yang disifatkan oleh Bank Dunia sebagai salah satu yang terburuk dalam era moden ini.

    Mangsa yang terselamat dari letupan pelabuhan Beirut, Shady Rizk menuding ke pejabat tempat dia berdiri ketika letupan berlaku. – AFP
    Shady Rizk mengambil gambar dari bekas bangunan pejabatnya yang menghadap ke pelabuhan Beirut. – AFP
    Keadaan pelabuhan Beirut yang meletup pada 4 Ogos 2020 yang membunuh lebih daripada 200 orang, mencederakan 6,500 yang lain. – AFP
    Ahli psikoterapi Lubnan, Rony Mekattaf yang mengalami kehilangan penglihatan periferal setelah dia cedera akibat letupan pelabuhan Beirut Ogos lalu. – AFP
    Gambar bertarikh 5 Ogos 2020 menunjukkan pemandangan dari udara kerosakan besar di pelabuhan Beirut dan kawasan di sekitarnya, sehari selepas letupan besar melanda ibu kota Lubnan. – AFP
    Julia Sabra bermain gitar di bangunan kediamannya yang menghadap ke pelabuhan Beirut. – AFP

    Tanpa adanya ahli politik yang bertanggung jawab dan negara menghadapi kemiskinan yang melambung tinggi, mata wang yang merosot, protes dan kekurangan barang-barang asas daripada ubat-ubatan kepada bahan bakar, ramai mangsa selamat berasa marah menjelang ulang tahun pertama tragedi itu.

    “Peristiwa letupan masih hidup dalam diri saya,” kata Rizk, kepada AFP dari bawah bangunan pejabat di mana dia berada ketika letupan itu berlaku.

    “Ketika ulang tahun 4 Ogos semakin hampir, mengetahui tidak ada yang ditangkap atau dimasukkan ke penjara, kemarahan semakin membara,” tambahnya.

    “Ini membuat anda ingin memecahkan barang-barang, turun ke jalan untuk melakukan protes, melemparkan bom Molotov, menyalakan api… apa sahaja untuk melepaskan kemarahan.”

    Mod kehidupan

    Rizk berdiri di balkoni yang menghadap ke pelabuhan, merakamkan asap yang naik dari gudang, ketika beratus-ratus tan baja nitrat amonium yang tersimpan di dalamnya meletup di hadapannya.

    Letupan itu meninggalkannya dengan lebih dari pada 350 jahitan dan merosakkan penglihatan selama-lamanya. Dia hampir tidak dapat melihat pada waktu malam sekarang, membuat dunianya semakin gelap di sebuah negara yang dibelenggu oleh penderitaan yang tidak berkesudahan. Tetapi parut fizikal adalah masalah sekunder, katanya.

    “Trauma, itu menghancurkan dirimu,” kata Rizk, yang kini merancang untuk berhijrah ke Kanada. “Ia bagaikan tangisan dalaman.”

    Duduk di kliniknya yang berdekatan, Rony Mecattaf mengatakan dia menyesuaikan diri dengan kehilangan penglihatan kekal di mata kanannya setelah tiga kali pembedahan dan beberapa pertemuan dengan pakar di Eropah sejak 12 bulan yang lalu.

    Untuk mengimbangi titik buta, ahli psikoterapi berusia 59 tahun itu selalu duduk di sudut meja dan berjalan di sebelah kiri jalan.

    Dia tertawa terbahak-bahak ketika rakan-rakannya bergurau memanggilnya ‘lelaki bermata satu’. Mecattaf mengatakan tahun lalu dia terasa seperti ‘hidup dalam ilusi’.

    “Ini adalah khayalan luar biasa di negara ini, kemampuan yang selalu kita banggakan, kerana dapat bersenang-senang… menjalani kehidupan,” kata Mecattaf. “Semua itu hancur.” Apa yang tinggal adalah realiti trauma kolektif dan kekurangan ruang untuk sembuh ketika negara semakin dalam keadaan kacau-bilau.

    “Wujudnya daya ketahanan di mana kami semua berada,” kata Mecattaf. “Proses ketahanan ini tidak memungkinkan proses yang nyata dan sihat.”

    Di bumbung pangsapurinya di Mar Mikhael, sebuah kawasan yang mengalami kerosakan teruk akibat letupan itu, Julia Sabra mengatakan dia sekarang merasa tidak selamat di rumah. Penyanyi berusia 28 tahun itu kembali ke flatnya yang telah diubah suai lima bulan selepas ia musnah akibat letupan.

    “Teman lelaki saya tidak sedarkan diri di lantai, darah di seluruh muka dan kakinya,” kata Sabra. Sejak kembali semula, dia mengatakan mereka ‘takut dengan sebarang suara… pintu ditutup, ribut, angin terlalu kuat, mendengar sesuatu jatuh di tangga.”

    Dengan tarikh ulang tahun letupan semakin hampir, Sabra mengatakan dia dibelenggu perasaan ‘marah dan putus asa’.

    “Anda tidak dapat berehat… anda berusaha untuk sembuh dari trauma atau luka akibat letupan dan anda juga harus mengatasi kekurangan dari hari ke hari dalam segala hal,” katanya.

    Pada bulan Julai, Sabra dan kumpulannya Postcards membuat persembahan di festival Baalbek yang terkenal, termasuk lagu yang secara terang-terangan merujuk kepada letupan dan dipanggil ‘Home is so Sad’ sempena puisi Philip Larkin.

    Pukulan dram dan vokal halus menunjukkan kesedihan dan kerentanan yang mendalam, mengungkapkan apa yang menjadi emosi dominan bagi banyak warga Beirut sejak letupan itu.

    “Sesuatu berubah,” kata Sabra. “Saya tidak pasti jika saya akan mengatakan (Beirut) kehilangan jiwanya, saya masih fikir ia mempunyai banyak jiwa, tetapi itu adalah jiwa yang terluka.” – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda