Mangsa letupan meningkat 85 orang

TLAHUELILPAN, Mexico, 21 Jan – Angka kematian dari letupan minyak di tengah Mexico meningkat kepada 85 orang semalam ketika pihak berkuasa berikrar akan mempertanggungjawabkan mereka yang sengaja membocorkan saluran minyak yang mengundang beratus-ratus orang mengumpul gasolin sebelum ia meletup.

Pencarian mayat mangsa di tempat kejadian letupan di negeri Hidalgo berakhir lewat Sabtu lalu. Manakala anggota keluarga mula mengembumikan anggota keluarga mereka yang terkorban dan para pegawai mengatakan angka kematian mungkin masih meningkat.

Menteri Kesihatan Jorge Alcocer berkata 85 orang disahkan terkorban manakala 58 orang lagi telah dimasukkan ke hospital di Hidalgo, manakala yang lain dalam keadaan teruk telah dipindahkan ke Bandar Mexico bagi rawatan pakar.

Para anggota keluarga mangsa telah menggesa kerajaan terus mencari mayat dan membawa kembali pakar-pakar forensik bagi tujuan itu.

Upacara pengebumian telah bermula, tetapi penyerahan mayat adalah perlahan kerana kebanyakkan mangsa telah terbakar sehingga tidak dapat dikenal pasti.

Anggota keluarga mangsa letupan minyak melihat gambar mangsa yang disenaraikan hilang di Tlahuelilpan, negeri Hidalgo, Mexico pada Ahad lalu. – AFP

Pihak pendakwa raya Hildago mengatakan 54 orang yang terkorban belum lagi dapat dikenal pasti dan perlukan analisis DNA.

Orang ramai yang berkabung mula tiba sedikit demi sedikit ke rumah salah seorang mangsa, manakala jalan raya bersebelahan kereta mayat membawa satu lagi mayat.

“Dia telah pergi buat selama-lamanya,” kata seorang wanita yang menangis ketika mayat Cesar Jimenez dipindahkan ke sebuah gereja bagi upacara pengebumian yang dihadiri oleh berbelas-belas anggota keluarga dan rakan.

Di sebuah pusat kebudayaan, insan-insan tersayang secara terbuka memaparkan gambar-gambar mereka yang masih hilang.

“Kami sudah letih mencari di setiap hospital,” kata Moises Mejia, yang cuba mencari isterinya yang hilang, Karina Uglade dan kakaknya Angelica. – AFP