WASHINGTON, 31 JAN – Identiti beberapa penumpang dan anak kapal dalam penerbangan American Airlines dan helikopter tentera Amerika Syarikat (AS) yang terlibat dalam perlanggaran di udara telah disahkan manakala sebuah kotak hitam telah ditemukan, lapor United Press International (UPI).
Lebih 40 daripada 67 mayat mangsa nahas pada malam Rabu, yang berlaku pada 9 malam berhampiran Reagan International Airport, ditemukan dari Sungai Potomac pada lewat petang kelmarin.
Sekurang-kurangnya satu daripada kotak hitam pesawat itu juga telah ditemukan, menurut saluran berita utama termasuk CNN, ABC News dan Newsweek.
Kesemua 67 orang di dalamnya terkorban, termasuk beberapa pemain luncur ais AS yang telah mengambil bahagian dalam kem pembangunan Luncur Ais AS di Wichita, Kansas.
Pesawat itu membawa 64 penumpang dan anak kapal ketika ia berlepas dari Wichita, manakala helikopter Tentera AS membawa tiga anggota dalam penerbangan latihan.
Mayat ketiga-tiga tentera itu ditemukan kelmarin, tetapi identiti mereka belum didedahkan kerana proses pemakluman kepada keluarga masih dijalankan, media tempatan WJLA melaporkan di platform X. – Bernama