Wednesday, October 23, 2024
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mangsa penipuan kerja di Kemboja dibawa pulang

    SEPANG, 3 NOV – Seramai 35 rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan tawaran pekerjaan dan terperangkap di Kemboja berjaya diselamatkan oleh pihak berkuasa dan dibawa pulang ke tanah air hari ini.

    Ketua Protokol dan Konsular Kementerian Luar, Mohd Aini Atan berkata kesemua mereka selamat tiba dengan dua penerbangan berasingan, dengan kumpulan pertama melibatkan 28 mangsa termasuk seorang wanita tiba pukul 2 petang tadi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

    Beliau berkata kumpulan kedua pula yang melibatkan tujuh lelaki tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pada pukul 5:35 petang tadi.

    “Jumlah yang sudah diselamatkan ialah 324 orang, mereka diselamatkan di Kemboja, Laos, Thailand dan Myanmar sejak April hingga sekarang, daripada 459 kes yang dilaporkan kepada kami.

    “Daripada 324 orang itu, 304 mangsa sudah selamat tiba di Malaysia manakala selebihnya masih ditahan di depot tahanan negara berkenaan iaitu 14 di Laos, dua di Myanmar dan empat di Thailand,” katanya dalam sidang media di KLIA hari ini.

    Mohd Aini berkata kejayaan membawa pulang rakyat Malaysia yang menjadi mangsa penipuan di luar negara adalah hasil kerjasama erat antara Kementerian Luar dan agensi-agensi yang berkaitan seperti Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen, Malaysia Airports Holdings Bhd dan lain-lain lagi. – Bernama

    Seramai 35 rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan tawaran pekerjaan dan terperangkap di Kemboja, tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kelmarin. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda