PHNOM PENH, 13 OKT – Selepas lebih sebulan melarikan diri daripada cengkaman pihak tidak berperikemanusiaan, tujuh anak muda Malaysia yang menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia masih terperangkap di Pusat Imigresen Kemboja, menunggu untuk dibebaskan.
Kesemua tujuh mangsa, lima daripadanya berasal dari Sarawak pada mulanya tiba untuk bekerja di kasino tetapi ditipu dan dipaksa terlibat dalam aktiviti jenayah siber.
Mereka kini ditahan di Pusat Imigresen Sihanoukville dan menanti untuk dibawa pulang ke Malaysia.
Kumpulan itu termasuk lima wanita, terpaksa bekerja sebagai penipu atau scammer dalam sindiket penipuan dalam talian di negara itu.
“Kami melarikan diri daripada majikan kami 41 hari yang lalu.
“Kami berjaya mendapatkan telefon bimbit untuk menghubungi polis tempatan dan kami diselamatkan oleh jabatan imigresen di Sihanoukville,” kata seorang mangsa yang ditemui Bernama di pusat tahanan itu.
Mangsa memaklumkan bahawa dua rakan mereka kini dipindahkan ke fasiliti tahanan berasingan tetapi dia tidak dapat memberikan maklumat lanjut.
“Kami sudah menghubungi kedutaan (di Phnom Penh) juga,” katanya dengan suara yang kedengaran sayu.
Ejen-ejen di Malaysia menawarkan peluang pekerjaan lumayan untuk menarik remaja-remaja bekerja di Kemboja, menjanjikan gaji dalam dolar AS, makanan percuma, tempat tinggal serta tiket penerbangan yang ditanggung sepenuhnya.
Namun, setibanya di ‘tanah yang dijanjikan,’ skop pekerjaan mereka berubah dan mereka akhirnya dipaksa bekerja di pusat panggilan penipuan di Sihanoukville sejak tiba pada Mei tahun ini. – Bernama