Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 4 JULAI – Mangsa kejadian rumah roboh yang berlaku di Kampung Pekilong Muara pada 28 Jun lalu telah menerima bantuan kewangan kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam melalui peruntukan Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), hari ini.
Pada majlis yang berlangsung di Bilik Kunjungan, Bangunan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) itu, Timbalan Setiausaha Tetap di KKBS, Dayang Saidah binti Haji Wahid menyampaikan sumbangan kewangan kepada ketua keluarga yang terlibat, Dayang Maslindawati binti Ali yang merupakan pemilik rumah berkenaan.
Pemberian bantuan kewangan kerajaan berkenaan bertujuan untuk membantu meringankan kesusahan yang dialami oleh mangsa-mangsa bencana bagi meneruskan kehidupan seharian.
Usaha berkenaan menunjukkan keprihatinan dan pemedulian pihak kerajaan terhadap rakyat dan penduduk yang mengalami musibah.
