Wednesday, April 16, 2025
25.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mangsa runtuhan bangunan di Bangkok meningkat kepada 41

    BANGKOK, 14 APRIL – Pihak berkuasa Bangkok telah menemui empat lagi mayat daripada runtuhan bangunan Pejabat Audit Negara (SAO) susulan gempa bumi baru-baru ini, membawa jumlah korban kepada 41 orang, manakala 53 lagi masih dilaporkan hilang.

    Operasi menyelamat masih diteruskan, dengan kerja-kerja pembersihan runtuhan kini hampir 50 peratus siap.

    Pentadbiran Metropolitan Bangkok (BMA) bersama Jabatan Pencegahan dan Mitigasi Bencana (DDPM) telah mengadakan sidang media bagi memberikan perkembangan terkini mengenai insiden runtuhan bangunan SAO yang berlaku di daerah Chatuchak, Bangkok, susulan gempa bumi tersebut.

    Sehingga jam 10 pagi hari ini, seramai 103 individu telah disahkan terlibat dalam tragedi tersebut.

    Empat lagi mayat berjaya dikeluarkan sepanjang malam kelmarin, membawa jumlah korban terkini kepada 41 orang, manakala sembilan orang dilaporkan cedera dan 53 lagi masih belum ditemui.

    Sepanjang malam, pasukan penyelamat telah memperluaskan operasi ke zon B4 dan C1, di mana sebelum ini isyarat cahaya samar telah dikesan.

    Anggota penyelamat berjaya membersihkan sisa runtuhan yang berselerak dan menggali kawasan sedalam 4 meter dan selebar 5 meter, bagi membolehkan unit K-9 dan anggota penyelamat menjalankan pencarian dengan lebih berkesan. Namun begitu, tiada tanda-tanda mangsa hidup ditemui dalam operasi tersebut.

    Setakat ini, kira-kira 50 peratus kerja pembersihan runtuhan telah selesai. Walaupun sambutan perayaan Songkran sedang berlangsung, semua anggota kecemasan masih dikerah sepenuhnya di lapangan. – ANN/The Star

    Mesin-mesin berat dikerahkan untuk membersihkan runtuhan bangunan pencakar langit yang runtuh selepas gempa bumi pada Jumaat di Bangkok, Thailand, 2 April. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda