SEOUL, 17 APRIL – Seorang pekerja Korea Selatan ditemui maut kelmarin, di tapak pembinaan laluan metro baharu yang runtuh minggu lalu berhampiran ibu negara, Seoul, menurut pegawai.
Pasukan penyelamat berdepan kesukaran untuk mengesan lelaki berusia lingkungan 50an itu selepas insiden yang berlaku pada Jumaat di bandar Gwangmyeong, terletak di barat daya Seoul.
“Mayat mangsa yang hilang telah ditemui sekitar jam 8:11 malam dan sedang dibawa ke hospital,” kata Hong Geon-pyo dari Balai Bomba Gwangmyeong kepada para wartawan.
“Saya merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang,” ujar Datuk Bandar Gwangmyeong, Park Seung-won.

Seorang lagi pekerja yang terperangkap berjaya diselamatkan kira-kira 13 jam selepas kejadian, yang menurut pihak berkuasa berlaku ketika kerja-kerja pengukuhan terowong sedang dijalankan.
Tapak pembinaan tersebut merupakan sebahagian daripada projek transit bawah tanah yang menghubungkan daerah Yeouido di Seoul ke Ansan dan Siheung di wilayah Gyeonggi.
Insiden runtuhan ini turut menyebabkan pihak berkuasa bandar mengambil langkah berjaga-jaga dengan memindahkan kira-kira 2,300 penduduk di kawasan berhampiran bagi mengelakkan risiko kerosakan susulan.
Kejadian ini berlaku hanya beberapa minggu selepas seorang maut apabila sebuah lubang besar terbentuk di Seoul.
Insiden lubang benam itu berlaku di tapak kerja sambungan untuk laluan metro yang berbeza. – AFP