Saturday, July 12, 2025
26.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mangsa serangan buaya di Limbang ditemukan meninggal dunia

    LIMBANG, 9 JULAI – Seorang lelaki yang dilaporkan hilang selepas dipercayai diserang buaya di Sungai Kampung Pendam, di Limbang semalam, ditemukan meninggal dunia oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) hari ini.

    Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata jasad Karim Osman, 58, ditemui dalam keadaan sempurna pada 2:28 petang kira-kira satu kilometer dari lokasi Pusat Kawalan Bomba (PKB), oleh pasukan SAR yang menggunakan teknik pencarian di permukaan.

    “Operasi SAR hari kedua dimulakan seawal 9 pagi dengan pencarian dilakukan di sepanjang sungai dalam radius satu hingga dua kilometer, di kawasan yang dipercayai lokasi terakhir kelibat buaya itu kelihatan sebelum insiden berlaku,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata jasad mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. Dalam kejadian yang pada 3:13 petang semalam, mangsa dipercayai dibaham buaya ketika sedang memancing di tebing sungai berhampiran Kampung Pandam dan saksi memaklumkan hanya barangan peribadi dan peralatan memancing milik mangsa ditemui di lokasi kejadian. – Bernama

    Pasukan SAR membawa mayat mangsa serangan buaya yang ditemui di Limbang, hari ini. – Gambar JBPM
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda