BEIJING, 19 SEPT – Seorang pelajar Jepun berusia 10 tahun yang ditikam berhampiran sekolahnya di selatan China telah meninggal dunia, kata pegawai di Tokyo hari ini, meminta Beijing untuk memberikan butiran mengenai kejadian tikaman itu dan mengambil langkah pencegahan.
Menteri Luar Jepun, Yoko Kamikawa, menyampaikan ucapan takziah dan menyatakan bahawa serangan itu berlaku walaupun Tokyo telah meminta langkah berjaga-jaga dan keselamatan ditingkatkan ketika China memperingati ulang tahun penting perangnya dengan Jepun.
Pelajar tersebut ditikam kelmarin kira-kira 200 meter dari pintu masuk Sekolah Jepun Shenzhen, kata jurucakap Kementerian Luar China, Lin Jian, dalam satu taklimat harian.
Lin berkata penyerang telah ditangkap di tempat kejadian dan kes itu masih dalam siasatan.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan kelmarin, polis Shenzhen berkata seorang lelaki berusia 44 tahun dengan nama keluarga Zhong telah ditahan berkaitan dengan kejadian tikaman terhadap seorang kanak-kanak. Motif serangan itu masih belum jelas. – AP