Saturday, March 15, 2025
31.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mangsa sindiket pekerjaan kongsi pengalaman di Kemboja

    JOHOR BAHRU, 30 OKT – Pergerakan sentiasa diperhatikan dan dikawal 24 jam antara pengalaman pahit yang terpaksa dilalui tujuh rakyat Malaysia termasuk seorang wanita berusia 18 hingga 34 tahun berasal dari Johor yang menjadi mangsa sindiket penipuan tawaran pekerjaan di Kemboja.

    Seorang daripada mangsa Wan (bukan nama sebenar), 34, berkata selepas tiba di Kemboja, mereka ditempatkan kira-kira lima bulan di sebuah hotel di Kampung Sok, Phnom Penh yang dipercayai dijadikan pusat operasi sindiket penipuan itu.

    Katanya sebelum ke Kemboja, mereka ditawarkan pekerjaan di sebuah kasino dengan gaji lumayan sebanyak US$1,100 sebulan menerusi seorang ejen warga tempatan, namun dipaksa bekerja sebagai scammer (penipu) mata wang kripto dipercayai didalangi warga Taiwan sebaik tiba di negara itu.

    “Kami tertarik dengan tawaran gaji, tetapi apabila sampai di sana indah khabar daripada rupa, pada mulanya ditawarkan sebagai pelayan kasino tetapi sebaik sahaja sampai di sana, kami dijadikan sebagai scammer.

    “Jika kami tidak tandatangan kontrak (sebagai scammer) untuk enam bulan, kami disuruh bayar RM15,000 seorang untuk pulang semula ke tanah air dan kami semua terpaksa tandatangan,” katanya pada sidang media di Pusat Khidmat Wakil Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin di sini hari ini.

    Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia negeri Mohd Hairi Mad Shah.

    Bagaimanapun, Wan yang berasal dari Kampung Melayu Paloh di Kluang berkata sepanjang lima bulan berada di Kemboja mereka tidak dibayar jumlah gaji seperti dijanjikan, namun menjelaskan tidak pernah dicederakan oleh sindiket penipuan itu.

    “Kami tidak pernah dicederakan, tetapi ada mangsa lain sebelum ini pernah kongsi pengalaman dipukul dan diacu pistol…jadi sepanjang di sana kami tidak pernah membantah dan sentiasa mengikut arahan yang diberikan,” katanya.

    Menurut Wan, dia dan enam yang lain telah merancang selama sebulan untuk melarikan diri sebelum menghubungi Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) untuk mendapatkan bantuan dan berjaya melepaskan diri dengan memberi alasan mahu memotong rambut. – Bernama

    Empat rakyat Johor yang menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan di Kemboja, selamat dibawa pulang ke tanah air. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda