Saturday, February 1, 2025
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mangsa yang ‘degil’ diseru untuk berpindah segera

    KUCHING, 31 JAN – Mangsa banjir yang masih berdegil diseru untuk berpindah segera jika pihak Jabatan Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak meminta mereka berbuat demikian demi keselamatan nyawa diri sendiri dan keluarga.

    Timbalan Premier, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, ini kerana masih ada segelintir individu yang belum bersedia untuk berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang terdekat.

    “Mereka masih mahu menunggu, tetapi jika banjir semakin buruk, ia akan mengancam nyawa. Oleh itu, kita menasihatkan penduduk yang terjejas untuk berpindah segera.

    “Pihak berkuasa seperti polis, bomba, dan tentera perlu memujuk mereka untuk berpindah dan mengelakkan sebarang perkara buruk terjadi,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke PPS Dewan Masyarakat Serian, hari ini.

    Uggah yang juga pengerusi jawatankuasa itu berkata, pada masa ini ketua PPS diingatkan untuk memantau keadaan mangsa banjir dengan teliti, dan sekiranya ada yang mengalami demam, mereka perlu melaporkan segera kepada anggota kesihatan yang bertugas bagi mendapatkan rawatan awal.

    Berkenaan dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) di PPS, Uggah berkata haiwan peliharaan tidak dibenarkan dibawa bersama kerana dikhuatiri boleh membawa penyakit yang boleh menjangkiti manusia.

    “Saya yakin keluarga mereka (pemilik haiwan peliharaan) yang lain boleh menjaganya dengan baik atau meletakkan haiwan peliharaan di tempat yang selamat sebelum berpindah ke PPS,” katanya. – Bernama

    Datuk Amar Douglas Uggah Embas menyantuni mangsa banjir ketika melawat PPS di SJK Chung Hua Batu Kawa, baru-baru ini. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda