Gambar oleh Infofoto
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 JULAI – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, pagi tadi berkenan berangkat ke Istiadat Pertabalan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Malaysia XVI (ke-16), Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Kuala Lumpur, Malaysia.
Berangkat mengiringi KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan KDYMM Paduka Seri Baginda Raja Isteri ialah Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Fadzilah Lubabul Bolkiah; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna, Ambassador-at-Large di Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri; dan Yang Amat Mulia Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz.
Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri di Anjung Tamu, Istana Negara dijunjung oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Dr Mujahid bin Yusof Rawa dan Timbalan Ketua Setiausaha Kanan, Jabatan Perdana Menteri Malaysia merangkap pengerusi Majlis Rasmi Kerajaan, Datuk Haji Hasnol Zam Zam bin Haji Ahmad.
Sejurus keberangkatan tiba, Baginda berdua dijunjung berangkat ke Dewan Seri Maharaja dan seterusnya berangkat ke Balairung Seri untuk menghadiri istiadat pertabalan yang juga dihadiri oleh Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja dan Raja-Raja Permaisuri; ahli-ahli kerabat diraja; Yang Di-Pertua-Yang Di-Pertua Negeri; Perdana Menteri Malaysia; dan para tetamu khas yang lain.
Istiadat dimulakan dengan keberangkatan masuk KDYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Malaysia ke-16 dan KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong ke Balairung Seri, yang diiringi dengan paluan nobat ‘Raja Berangkat’.






Semasa istiadat pertabalan, KDYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Malaysia ke-16 berkenan me-nerima sebuah Al-Quran dan sebilah keris kerajaan, Keris Panjang Diraja yang disembahkan oleh Datuk Paduka Maharaja Lela Azuan Effendy bin Zairakithnaini. Manakala Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir bin Mohamad, melafazkan Surat Pemasyhuran Pertabalan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong ke-16 untuk Baginda ditabalkan menaiki takhta kerajaan Malaysia.
KDYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Malaysia ke-16 seterusnya berkenan mengurniakan titah, yang antara lainnya Baginda menzahirkan penghargaan dan mengalu-alukan keberangkatan KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan KDYMM Paduka Seri Baginda Raja Isteri ke istiadat pertabalan tersebut.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia menyifatkan keberangkatan Baginda berdua ini merupakan sebagai manifestasi keakraban ikatan mesra ikatan persaudaraan di antara Malaysia dan Brunei.
Istiadat pertabalan diakhiri dengan bacaan Doa Selamat oleh Pegawai Agama di Istana Negara, Datuk Ustaz Abdul Aziz bin Che Yacob.
Selesai istiadat pertabalan, KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan KDYMM Paduka Seri Baginda Raja Isteri dijunjung berangkat beredar ke Dewan Seri Maharaja bagi sesi bergambar ramai bersama KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Malaysia ke-16 dan KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong serta tetamu diraja dan khas lainnya sebelum berangkat meninggalkan Istana Negara.
Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah diputerakan pada 30 Julai 1959 di Istana Mangga Tunggal, Pekan, Pahang. Baginda merupakan cahaya mata keempat dan putera sulung Sultan Pahang kelima, Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah dengan Al-Marhumah Tengku Ampuan Hajjah Afzan.
Baginda mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Ahmad, Pekan dan Sekolah-sekolah Rendah dan Menengah Kebangsaan St Thomas di Kuantan sebelum melanjutkan pelajaran ke luar negara.
Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dimasyhurkan menjadi Sultan Pahang keenam di Balairung Seri, Istana Abu Bakar, Pekan pada 15 Januari 2019 selepas Jumaah Pangkuan Diraja Negeri Pahang ke-110 bermesyuarat pada 11 Januari 2019 bagi memilih, melantik dan memasyhurkan Baginda sebagai raja pemerintah yang baharu bagi menggantikan paduka ayahandanya. Pemasyhuran ini melayakkan Baginda dalam senarai pemilihan sebagai Yang Di-Pertuan Agong ke-16.
Pada 24 Januari lalu, Mesyuarat Majlis Raja-Raja Ke-251 (Khas) telah memilih Al-Sultan Abdullah sebagai Yang Di-Pertuan Agong yang baharu bagi menggantikan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V, yang turun takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong XV (ke-15) Malaysia pada 6 Januari tahun ini.
Baginda seterusnya mengangkat sumpah dan menandatangani surat sumpah jawatan sebagai Yang Di-Pertuan Agong ke-16 semasa Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-252 (Khas) di Istana Negara pada 31 Januari lalu bagi tempoh pemerintahan selama lima tahun.