LABUAN, 6 NOV – Manifesto Pakatan Harapan (PH) khusus untuk Labuan bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan dilancar minggu depan, kata calon PH Datuk Dr Ramli Tahir.
Ketua Bahagian Amanah Labuan itu berkata manifesto berkenaan memberi fokus kepada kesejahteraan rakyat di pulau bebas cukai ini dan memperjuangkan isu-isu yang membelenggu masyarakat serta komuniti peniaga.
“Manifesto PH untuk Labuan ini tidak menjanjikan bulan dan bintang yang memang tidak boleh dicapai, tetapi manifesto yang dilancarkan ini akan mengetengahkan isu-isu dan ada cadangan kepada solusi.
“Manifesto ini sekiranya dilaksanakan akan membawa kepada kesejahteraan rakyat, ini kerana isu-isu ini telah cukup lama membebankan rakyat Labuan,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di bilik gerakan PH di sini hari ini.
Dr Ramli berkata kandungan manifesto PH Labuan itu akan turut menyentuh isu yang sekian lama membelenggu masyarakat di sini seper-ti krisis air dan gangguan bekalan makanan.
“Manifesto ini tidak menjurus kepada menyalahi sesiapa kepada apa yang kurang di Labuan ini, atau mencari kesalahan sesiapa terhadap krisis air berlarutan dan gangguan bekalan makanan berpanjangan, tetapi adalah manifesto kepada jalan penyelesaian isu rakyat,” katanya. – Bernama