Manila kembali kena perintah berkurung

MANILA, 13 JULAI – Kira-kira 250,000 orang di Manila akan kembali dikenakan perintah berkurung, kata pegawai hari ini, ketika jumlah jangkitan baharu koronavirus di Filipina meningkat.

Penduduk di Navotas, sebuah daripada 16 bandar yang terdapat di ibu negara yang mempunyai 12 juta penduduk itu, akan dikenakan perintah duduk rumah selama dua minggu, hanya enam minggu selepas pelonggaran salah satu daripada perintah berkurung paling lama di dunia.

“Saya tidak pasti adakah ini satu penyelesaian, namun saya pasti, jika saya melakukannya, kes-kes tidak akan bertambah,” kata datuk bandar Navotas, Toby Tiangco memberitahu sebuah stesen radio. Navotas, antara bandar termiskin di Manila dan pelabuhan perikanan utama, mencatatkan 931 kes serta 59 kematian.

Jumlah jangkitan baharu bagaimanapun meningkat sejak dua minggu lalu.

“Kami tidak mempunyai pilihan selain daripada melaksanakan (perintah berkurung) kerana orang ramai terlalu degil,” katanya merujuk kepada keengganan penduduk setempat mematuhi arahan penjarakan sosial. Perintah berkurung itu dijangka dilaksanakan pada Rabu atau Khamis, kata Tiangco, sambil memberitahu, garis panduan penuh masih dalam penilaian akhir.

Orang ramai akan dibenarkan keluar bekerja, namun kegiatan riadah di luar adalah dilarang.

Kedai dan perniagaan beroperasi seperti biasa namun restoran hanya dibenarkan menyediakan perkhidmatan bungkus dan bawa pulang. – AFP

Para penumpang kereta api diambil suhu badan sebelum menaiki sebuah bas ke stesen kereta api di Manila baru-baru ini selepas pelonggaran sekatan, namun ibu negara itu kembali dikenakan perintah berkurung selepas jangkitan meningkat di Novatas. – AFP