SEMAKIN hari memberi semakin ia bertambah. Kehidupan manusia lebih indah jika dia sentiasa memberi.
Tidak perlu kedekut untuk memberi sedekah kepada orang yang memerlukan. Lebih banyak memberi, lebih lagi Allah permurahkan rezeki anda.
Sepertimana dalam firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya orang-orang lelaki yang bersedekah dan orang-orang perempuan yang
bersedekah, serta mereka memberikan pinjaman kepada Allah, sebagai pinjaman yang baik (ikhlas), akan digandakan balasannya (dengan berganda-ganda banyaknya) dan mereka pula akan beroleh pahala yang mulia.” ( Surah Al Hadid, ayat 18)
Di sini dikongsikan 11 tip yang kreatif untuk bersedekah iaitu :
1. Letakkan di tingkap rumah segelas air atau makanan untuk burung-burung yang datang hinggap dan letakkan nasi bersama ikan serta air untuk kucing-kucing yang datang akan makan.

2. Apabila dapat gaji pada awal bulan, asingkan duit dari gaji untuk disumbangkan kepada anak-anak yatim.
3. Sebagai majikan, apa salahnya belikan makanan atau minuman kepada pekerja untuk berbuka puasa atau sebagainya.
4. Sediakan satu kotak di dalam bilik tidur atau di pejabat, setiap hari masukkan sekurang-kurangnya $1. Apabila akhir bulan, ambil duit tersebut dan bersedekahlah. Amalkan sikap ini setiap bulan.
5. Belilah beberapa buah kerusi dan letakkan di dalam masjid supaya dapat digunakan oleh orang lain yang memerlukannya untuk solat.
6. Belilah juga Al-Quran dan letakkan di dalam masjid untuk dibaca oleh orang ramai. Bayangkan banyaknya pahala yang akan dapat apabila orang mengguna Al-Quran tersebut.
7. Jika hadir ke majlis apa-apa pun, belilah air mineral dengan niat untuk bersedekah kepada orang yang memerlukan.
8. Jika mengisi minyak kenderaan, bersedekahlah sedikit baki daripada bayaran kepada petugas di stesen minyak itu.
9. Hadiahkan senyuman pada setiap hari untuk setiap orang yang kita jumpa. Jangan kedekutkan senyuman kerana senyuman itu adalah sedekah.
10.Tunjukkan perasaan gembira dan berilah senyuman kepada setiap orang, khususnya kepada mereka yang ditimpa kesedihan. Serta berdoa yang tulus untuk mereka.
11. Sebelum tidur, maafkan semua orang yang telah menyakitkan hati kita walaupun kesalahannya besar.
Berkat rezeki kerana sedekah
Kekayaan tidak membawa erti tanpa ada keberkatan. Dengan adanya keberkatan, harta atau rezeki yang sedikit akan dirasakan seolah-olah banyak dan mencukupi. Sebaliknya tanpa keberkatan akan dirasakan sempit dan susah meskipun banyak harta. Cara untuk mendapatkan keberkatan daripada Allah SWT ialah:
1. Bersyukur atas apa yang diberikan oleh Allah.
2. Belanjakan rezeki yang halal.
3. Keluarkan sedekah harta pada jalan yang diredhai oleh Allah.
4. Berusaha untuk mendapatkan wajib (zakat) jika sampai nisab dan berikan sedekah sunat kepada orang miskin dan anak yatim.
5. Bersedekah kepada anak yatim atau fakir miskin, kalau boleh setiap hari. Cari anak-anak yatim untuk diberikan, Insya-Allah akan diganti oleh Allah tanpa kita sedari.
6. Ikhlaskan pemberian atau sedekah hanya kepada Allah, bukan mengharapkan pujian dan sebagainya (Pemberian tangan kanan tanpa diketahui tangan kiri). Sedekah mulakan dengan keluarga sendiri dahulu selepas itu barulah kepada jiran dan orang-orang yang lebih jauh. Jangan anggap pemberian itu hak kita sebenarnya dalam harta kita ada hak mereka.
7. Hulurkan pemberian sunat secara rahsia. Tetapi pemberian wajib (zakat) perlu diberi secara terang-terangan sebagai menegakkan syiar Islam.
8. Konsep sedekah: Berikan sesuatu yang kita sayangi. Ini jelas dalam ayat Al-Quran, dalam Surah Ali Imran ayat 92 yang bermaksud:
“Kamu sekali-kali tidak sampai kepada kebajikan (yang sempurna), sebelum kamu menafkahkan sehahagian harta yang kamu cintai. Dan apa saja yang kamu nafkahkan maka sesungguhnya Allah mengetahuinya.”
9. Cari harta dunia untuk dijadikan bekalan akhirat.
10. Menurut Nabi SAW, 9/10 (90 peratus) daripada sumber rezeki ialah berpunca daripada perniagaan. Makan gaji mungkin 1/10 sahaja (10 peratus). Nabi Muhammad sendiri sebelum diutus menjadi rasul adalah seorang ahli perniagaan yang jujur, cekap dan amanah. Peniaga yang amanah akan dibangkitkan bersama para nabi dan rasul di akhirat kelak.
Perniagaan merupakan amalan fardu kifayah. Barang makanan orang Islam sepatutnya dikeluarkan sendiri oleh orang Islam. Kalau tidak ada menjalankan aktiviti ini, seluruh umat Islam berdosa. – Agensi