Sunday, April 13, 2025
25.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mantan Guru Besar PGGMB Sungai Akar dirai

    Oleh Sim Y. H. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 11 APRIL – Jasa serta sumbangan yang diberikan oleh mantan Guru Besar Sekolah Persekutuan Guru-Guru Melayu Brunei (PGGMB) Sungai Akar, Haji Ali @ Haji Mustapha bin Haji Talib amat dihargai dan telah diraikan dalam majlis perpisahan dan persaraan yang berlangsung di Jeruton Lounge, Kampung Jerudong, hari ini.

    Hadir bagi sama-sama memeriahkan majlis yang dikendalikan oleh guru-guru dan kakitangan Sekolah PGGMB Sungai Akar ialah Setiausaha Agung PGGMB, Haji Mustapa bin Haji Masri; Timbalan Setiausaha Agung PGGMB, Haji Yahya bin Haji Mirasan, guru besar, guru-guru dan kakitangan sekolah berkenaan.

    Pada majlis itu, Pemangku Guru Besar Sekolah PGGMB Sungai Akar, Dayang Maswati Airin Patrah binti Ahmad dalam kata alu-aluannya mengongsi beberapa resepi tatacara kepimpinan dan pentadbiran yang diamalkan oleh Haji Ali, semasa menerajui Sekolah PGGMB Sungai Akar sepanjang bersama beliau hingga sekolah mendapat keputusan yang cemerlang setiap tahun.

    Beliau menyatakan bahawa Haji Ali juga memiliki ciri-ciri kepimpinan yang dinamik dan mengamalkan budaya hormat menghormati, sentiasa menerima teguran dan buah fikiran yang positif dalam kalangan guru-guru, kakitangan dan murid-murid.

    Sementara itu, Haji Ali dalam ucapannya menyarankan supaya para guru akan sentiasa rajin berusaha, bekerjasama dan berdedikasi dalam melaksanakan tugas serta tanggungjawab yang diamanahkan dalam mendidik murid-murid dengan jujur dan amanah.

    Tambahnya, kesungguhan dan ketekunan para guru dalam mendidik murid-murid akan dapat melahirkan murid-murid yang berjaya.

    Majlis berkenaan diserikan dengan bacaan Surah Al-Fatihah, Doa Selamat dan ucapan daripada beberapa orang guru sekolah sebagai tanda penghargaan kepada mantan guru besar dan penyampaian cenderamata kepada Haji Ali.

    Haji Mustapa dan Haji Ali bergambar ramai pada majlis itu. – GAMBAR SERAHAN SEKOLAH PGGMB SG AKAR
    Haji Ali menerima cenderamata pada majlis tersebut. – GAMBAR SERAHAN SEKOLAH PGGMB SG AKAR

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda